TMC Life Sciences rancang perluas pusat rujukan di Vietnam, Indonesia 

Business & Finance
3 Nov 2023 • 9:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TMC Life Sciences rancang perluas pusat rujukan di Vietnam, Indonesia

zulfadli

03/11/2023 - 09:55

KUALA LUMPUR 3 Nov - TMC Life Sciences Bhd (TMCLS) melalui platform penjagaan kesihatannya merancang untuk mengembangkan pusat rujukan di Vietnam dan Indonesia bagi meningkatkan lagi pelancongan perubatan di negara ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nadiah Wan berkata, peningkatan jumlah pesakit Indonesia dari Singapura yang masuk ke Malaysia adalah disebabkan penjagaan kesihatan yang berkos rendah serta ini dilihat sebagai satu kelebihan bagi kumpulan itu untuk meluaskan sayap pemasarannya.

"Kami berganding dengan rakan sekerja kami, Thomson Medical Group di Singapura selain meneroka pasaran Indonesia sebagai satu kumpulan untuk mewakili diri kami, mengembangkan rangkaian rujukan kami termasuk menubuhkan pejabat di sana.

"Kami juga sedang melihat bagaimana kami boleh membina rangkaian rujukan di Vietnam," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan ke-21 syarikat itu di sini semalam.

Syarikat itu memperuntukkan RM13.8 juta untuk menambah bilangan katil kepada 394 unit menjelang tahun kewangan akan datang berbanding 200 unit pada masa ini.

"Kami akan mempunyai katil tambahan di Hospital Thomson dan kami juga melaksanakan sistem maklumat hospital yang baharu," katanya.

Beliau berkata, untuk menangani kekurangan jururawat di bahagian hospital, lebih ramai profesional penjagaan kesihatan diambil oleh syarikat melalui perkongsian strategik dengan 13 universiti serta kolej perubatan awam dan swasta di negara ini di bawah Thomson Hospital Alliance Group (TAG).

image is not available

Syarikat itu juga sedang mengkaji untuk mengambil jururawat asing bagi menangani isu berkaitan tenaga buruh.

Sementara itu, pengerusinya, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, syarikat penjagaan kesihatan itu berhasrat meningkatkan bilangan pesakit asing kepada 40% daripada 30% sekarang.

Pada tahun kewangannya yang akan datang, TMCLS menyasarkan untuk memanfaatkan pertumbuhan dalam bahagian kesuburan di dalam serta luar Malaysia kerana ia komited bagi memberi lebih tumpuan terhadap penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak.

Syarikat itu yang turut mencatatkan kemajuan dalam penjagaan kanser melalui Sistem Perubatan Nuklear Asia Pasifik dan Kemudahan Onkologi Komprehensif serta yang pertama di negara ini yang mendapat akreditasi oleh Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) International merancang untuk mengembangkan bahagian hospitalnya di Johor pada masa akan datang.

Perniagaan syarikat termasuk Hospital Thomson Kota Damansara, TMC Fertility, TMC Care Pharmacy dan Thomson Chinese Medicine, Bernama melaporkan.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023, pendapatan TMCLS melonjak 28% kepada RM311.4 juta daripada RM243 .8 yang disaksikan semasa tahun kewangan sebelumnya.- DagangNews.com

View Original Article