
KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ mendakwa Selangor FC sering berpura-pura menjadi mangsa bagi menutup kegagalan sendiri.
Dakwaan itu dikeluarkan di media sosial selepas rumah pemain pertahanan pasukan itu, Ahmad Khuzaimi Piee dipecah masuk dua hari lepas.
Tunku Ismail juga mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon mengada-adakan cerita, malah mempersoalkan apakah tindakan seterusnya yang akan diambil untuk menutup kesalahannya sebelum ini.
"Confirm ni semua kerja TMJ dengan JDT. Mastermind dan tangan ghaib. Next apa pulak Dr Johan?
"Cara terbaik nak tutup kegagalan selepas belanja RM47 juta duit kerajaan/rakyat setiap tahun mesti pandai buat cerita," tulisnya dalam satu ruangan komen di akaun Instagram Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam berkait kes rumah Ahmad Khuzaimi dipecah masuk.

Tunku Ismail berkata Selangor FC kini boleh menyalahkan dirinya atau satu lagi "konspirasi besar" susulan insiden-insiden yang menimpa pemain pasukan itu.
"Semua salah TMJ, FAM, MFL dan PDRM, diri sendiri tak pernah salah. 'False flag'," sindirnya.
Rabu lalu, rumah Ahmad Khuzaimi dipecah masuk ketika beliau sedang menjalani latihan bola sepak di Shah Alam. Ahli keluarganya tiada di rumah ketika kejadian.
Suspek melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15R, empat beg silang pelbagai jenama dan sebuah pasport.
Sebelum itu pada 5 Mei lalu pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sehingga membataskan pergerakan dan percakapannya.
Dalam satu temubual ekslusif bersama Malaysiakini baru-baru ini, Johan mendakwa beliau dan pegawai Selangor FC yang lain menerima amaran bahawa mereka mungkin menjadi sasaran seterusnya. – The Vibes, 24 Mei, 2024

