TMJ Minta Rakyat Johor Jaga Tingkah Laku

LocalPolitics
24 Oct 2022 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tangkap layar insiden provokasi ketika Program Ceramah Malam Mesra Muo anjuran parti MUDA, di Jalan Bakri, baru-baru ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi peringkatan supaya semua Bangsa Johor agar sentiasa menjaga tingkah laku.

Baginda bertitah, rakyat negeri berkenaan juga harus bertanggungjawab dalam apa jua perkara dilakukan mereka.

“Ingin saya mengingatkan kepada semua Bangsa Johor agar sentiasa jaga tingkah laku dan bertanggungjawab dalam apa jua perkara yang anda lakukan.

“Semoga negeri Johor dan seluruh Bangsa Johor sentiasa diberkati dan dipelihara Allah SWT. Muafakat itu berkat, Allah Peliharakan Sultan,” titahnya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Peringatan itu dikeluarkan selepas tercetus isu ceramah diadakan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Muar, Johor dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki berbaju hitam yang bertindak membaling botol, menolak sukarelawan dan anggota parti politik berkenaan, kelmarin.

Dua klip video berdurasi 15 dan 46 saat dimuat naik Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menunjukkan kumpulan lelaki itu yang turut memakai pelitup muka melaungkan perkataan ‘balik’, sebagai provokasi terhadap tetamu yang hadir pada program berkenaan.

Mereka turut didakwa membaling mercun, selain menendang dan merosakkan kenderaan tetamu yang hadir.

Kumpulan itu bagaimanapun melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota polis, namun tiga dilaporkan ditahan.

Sebelum ini, majlis ceramah anjuran MUDA di Parit Jawa, Muar pada 16 Oktober lalu dicemari insiden provokasi sekumpulan penunggang motosikal. – Getaran, 24 Oktober 2022