TNB-Air Selangor perkukuh utiliti negeri menerusi ESA, CESA

LocalEnvironment
27 Jul 2026 • 1:56 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

TNB-Air Selangor perkukuh utiliti negeri menerusi ESA, CESA

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerjasama strategik antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi pemeteraian dua perjanjian dijangka memperkukuh sistem utiliti negeri, khususnya dalam memastikan operasi bekalan air kekal stabil, cekap dan berdaya tahan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pemeteraian Perjanjian Pembekalan Tenaga (ESA) dan Perjanjian Bekalan Tenaga Penyejukan (CESA) itu merupakan langkah penting dalam meningkatkan keterjaminan bekalan elektrik bagi menyokong operasi rawatan dan agihan air di Selangor.

Beliau yang juga Pengerusi Air Selangor berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau menjadi kemudahan pertama Air Selangor menerima bekalan elektrik secara terus melalui ESA, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi loji berkenaan.

Image from: TNB-Air Selangor perkukuh utiliti negeri menerusi ESA, CESA
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis pertukaran dokumen Perjanjian Pembekalan Tenaga (ESA) dan Perjanjian Bekalan Tenaga Penyejukan (CESA) antara Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 27 Julai 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

"Pada masa sama, CESA bagi tempoh 20 tahun akan memodenkan sistem penyejukan di Ibu Pejabat Air Selangor dan Bangunan Wilayah Kuala Lumpur menerusi teknologi lebih mampan dan cekap tenaga.

"Inisiatif ini dijangka mengurangkan kos penyejukan sebanyak 11 peratus dengan penjimatan sekitar RM2.78 juta sepanjang tempoh konsesi selain menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan peningkatan kecekapan operasi," katanya menerusi Facebook.

Pertukaran dokumen ESA dan CESA antara TNB dan Air Selangor itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerjasama berkenaan turut menyokong aspirasi Selangor untuk mencapai status sifar karbon menjelang 2050 menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada warga Air Selangor dan TNB atas kejayaan memeterai kerjasama strategik itu yang disifatkan sebagai pemangkin kepada pembangunan infrastruktur utiliti lebih mampan dan berdaya tahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved