TNB bentuk hubungan strategik dengan utiliti China dalam mengubah grid tenaga ASEAN
zulfadli
26/01/2024 - 09:34
KUALA LUMPUR 26 Jan - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengorak kerjasama dengan utiliti tenaga milik kerajaan China untuk merevolusi Grid Tenaga ASEAN (APG) melalui teknologi terkini Arus Terus Voltan Tinggi (HVDC).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din berkata, langkah strategik itu mencerminkan komitmen TNB sebagai pemimpin tenaga serantau dalam mengembangkan rumusan tenaga lestari.
Beliau menekankan betapa teknologi HVDC penting dalam kalangan negara ASEAN demi kelicinan perdagangan tenaga, perkongsian sumber dan integrasi tenaga boleh baharu (TBB).
"TNB berada di barisan hadapan dalam memimpin inisiatif tenaga lestari di rantau ASEAN. Usaha meneroka teknologi HVDC menjadi bukti teguh komitmen kami terhadap inovasi dan kelestarian.
"Kesalinghubungan menggunakan teknologi HVDC akan memberikan manfaat kepada perdagangan tenaga, perkongsian sumber dan integrasi TBB dalam kalangan kejiranan negara ASEAN. Maka, kami sedang dalam pertimbangan untuk bekerjasama dengan utiliti tenaga milik kerajaan China.
"Potensi kerjasama dalam projek HVDC ini dirangka secara strategik untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman China dalam pembangunan projek HVDC yang kompleks di republik itu dan global. Ia menjadi penanda aras pertumbuhan serta bukti dedikasi kami dalam meluaskan sempadan kelestarian dan inovasi teknologi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Baharin berkata, sebagai pendukung utama APG, TNB memperakui peranan penting kesalinghubungan serantau dalam langkah komprehensifnya melaksanakan Peralihan Tenaga yang bertanggungjawab.
Justeru katanya, TNB menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) dengan negara-negara jiran, menumpukan kepada aspek kesalinghubungan dan penjanaan TBB.
Selain itu, Baharin menegaskan bahawa peningkatan permintaan tenaga dari pusat data, bersama dengan inisiatif GoTF, menjadi pendorong utama revolusi APG.
"Malaysia menjadi fokus utama pelaburan pusat data di rantau ini, yang diperkukuh oleh dasar TBB yang semakin menguntungkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," katanya.
Dalam pencapaian terkini TNB, Baharin mengumumkan kejayaan menyempurnakan enam projek pusat data, dengan permintaan berjumlah 292 megawatt (MW), termasuk dua projek siap lebih awal daripada jadual.
Beliau merujuk kepesatan permintaan tenaga elektrik dengan potensi mencapai lebih 7,000MW menjelang 2035, sekali gus mendasari keperluan TNB melabur dalam pembangunan GoTF.
Baharin menekankan pentingnya grid yang fleksibel dan mampu menyambut peningkatan pemasangan solar serta memudahkan penyambungan segera daripada sistem jaringan solar serta sumber tenaga lain dalam memenuhi peningkatan berterusan permintaan.
"Fokus kami adalah melaksanakan projek NETR, memperteguh ET dan menyediakan rumusan tenaga hijau, berdaya harap dan mampu dinikmati oleh pelanggan sambil memastikan kestabilan bekalan tenaga elektrik negara," katanya.
Katanya, wawasan TNB tidak terbatas pada rumusan tenaga lestari, bahkan mencakupi komitmen kepada masyarakat, pemegang taruh dan masa depan lestari untuk generasi akan datang. - DagangNews.com


