TNB catat peningkatan untung bersih kepada RM1.06 bilion pada 1QFY25

27/05/2025 - 17:50
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 27 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM1.06 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) berbanding RM715.7 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan itu juga meningkat kepada RM16.03 bilion berbanding RM13.64 bilion pada 1QFY24.
Prestasi 1QFY25 TNB mencerminkan permintaan tenaga elektrik yang stabil, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi domestik. Penggunaan daripada sektor komersial meningkat sebanyak 5.1%, didorong perkembangan industri yang menggunakan tenaga tinggi seperti pusat data.
Seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab digital serantau, TNB terus menyokong infrastruktur penting bagi sektor ini.
Setakat suku pertama 2025, TNB telah menyalurkan bekalan tenaga kepada 21 pusat data dan memeterai 43 perjanjian bekalan dengan jumlah kapasiti sebanyak 6.4GW, mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama transformasi digital dan perindustrian negara.

Selain itu, pengukuhan ringgit berbanding Dolar AS daripada RM4.73 pada Mac 2024 kepada RM4.44 pada Mac 2025 turut membantu mengurangkan tekanan ke atas kos bahan api dan perbelanjaan modal, serta memberi impak positif kepada kadar pertukaran asing.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, fokus kumpulan adalah untuk mengekalkan prestasi stabil sambil mencipta nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.
“Melalui pengurusan kos yang berhemah, penyampaian perkhidmatan yang dijamin dan komitmen jelas terhadap pembangunan negara, kami terus menawarkan nilai yang konsisten walaupun berdepan cabaran global berterusan," katanya dalam satu kenyataan.
Seiring dengan usaha domestik, TNB terus mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa menerusi pembangunan projek solar hijau pertamanya di Eastfields dan Bunkers Hill, United Kingdom, yang dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2025.
Projek itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang TNB untuk memperoleh pulangan dalam mata wang asing sambil menyokong agenda peralihan tenaga global.
Megat Jalaludin berkata, berteraskan kemajuan ini, prestasi TNB bagi 1QFY25 mencerminkan pelaksanaan yang tertumpu dan berkesan terhadap keutamaan operasi, sambil memastikan pertumbuhan yang inklusif dan selari dengan aspirasi negara.
“Kekuatan kewangan bukan matlamat akhir, sebaliknya menjadi landasan untuk kami memberi impak yang bermakna kepada rakyat.
“Ketika kami memodenkan grid dan memperluaskan portfolio tenaga boleh baharu, kami turut memberi tumpuan untuk memastikan tiada komuniti yang tercicir. Inilah teras utama misi kami, membawa kemajuan yang mampu memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, kumpulan itu memperuntukkan 1% untung bersih bagi pembangunan komuniti merangkumi aspek sosial, pendidikan, alam sekitar dan sukan.
Dalam suku pertama 2025 sahaja, TNB telah menyalurkan lebih RM45 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif berpaksikan rakyat di seluruh negara.
“Melangkaui pembekalan tenaga, TNB komited untuk membangunkan generasi masa depan melalui pendidikan.
"Program-program kami mencerminkan pelaburan jangka panjang dalam komuniti yang kami berkhidmat, memastikan tiada anak yang tercicir dalam perjalanan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan ilmu yang lebih inklusif,” katanya.
Pelaburan strategik itu merangkumi keperluan masyarakat yang lebih meluas, termasuk Inisiatif Pendidikan, Ceria ke Sekolah, ihya Ramadan, Agihan Zakat Wakalah, Sokongan Kesihatan, Bantuan Bencana, Sokongan kepada Komuniti dan Pembangunan Sukan Negara.
Sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan komuniti jangka panjang, TNB telah memperluaskan Program Sekolah Angkat TNB secara signifikan, merangkumi 50 buah sekolah di seluruh negara, berbanding 36 sebelum ini.
Dengan pelaburan sekitar RM2.3 juta, program ini menyediakan intervensi bersasar meliputi sokongan akademik, pembelajaran digital, naik taraf infrastruktur serta pembangunan kokurikulum, termasuk Confirm AI bersama UNITEN (10 sekolah), Trust School for Peer Assisted Learning And Sharing (PALS) (6 sekolah), Thunderbolts TNB (7 sekolah), PINTAR TNB bersama Yayasan Pintar (13 sekolah) dan Sekolah Angkat MADANI (14 sekolah). - DagangNews.com
featured standard
