TNB, IHI laksana kajian projek pembakaran berskala kecil di dua loji janakuasa

5 Feb 2024 • 11:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB, IHI laksana kajian projek pembakaran berskala kecil di dua loji janakuasa

zulfadli

05/02/2024 - 11:37

KUALA LUMPUR 5 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan kajian bersama dengan syarikat Jepun, IHI Corporation (IHI) untuk merintis projek pembakaran bersama berskala kecil di dua stesen janakuasanya iaitu Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak dan Stesen Janakuasa Tuanku Mukhriz (SJTM), Port Dickson, Negeri Sembilan.

IHI mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam menukar pembakaran bahan api konvensional kepada neutral karbon termasuk biomas dan ammonia beberapa loji janakuasa pelanggannya di Jepun, Malaysia dan Indonesia.

Projek ini dijalankan oleh anak syarikat milik penuh TNB, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF) yang berpengalaman dalam perolehan bahan api untuk stesen-stesen janakuasa di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din berkata, projek pembakaran bersama ini menandakan kemajuan dalam komitmen pihaknya terhadap kelestarian dengan peralihan daripada ujian makmal kepada pelaksanaan kajian di stesen janakuasa.

"Selepas berjaya dengan ujian pembakaran 1% biomas, TNB melangkah ke peringkat seterusnya dengan memperkenalkan pembakaran bersama melibatkan 1% ammonia dan 2% biomas. Ia adalah satu perkembangan lancar dalam mengurangkan intensiti pelepasan karbon, seiring matlamat Sifar Bersih TNB menjelang 2050.

"Pembakaran bersama 1% ammonia dan 2% biomas ini dijangka mampu menampung pelepasan karbon setara dengan 71,000 kereta penumpang setahun, memperlihatkan impak positif terhadap alam sekitar," katanya.


Malah katanya, percubaan pembakaran bersama 1% biomas (pellet EFB) berjaya dilaksanakan di SJTM pada 10 hingga 14 September 2023, sekali gus mengesahkan kebolehlaksanaan projek itu dengan iklim tempatan.

image is not available
Datuk Seri Baharin Din

"Demonstrasi itu disaksikan oleh wakil pihak kawal selia serta rakan kongsi, Mitsui dan Chugoku. Keputusannya berada dalam had pelepasan yang digariskan," katanya.

Menurut Baharin, projek pembakaran bersama itu kini berada dalam fasa Front-End Engineering Design (FEED), dimulakan sejak 30 Ogos 2023 untuk mengesahkan kebolehlaksanaan teknologi tersebut.

Beliau berkata, ia termasuk penentuan spesifikasi teknikal, menentukan kadar pengimbangan pelepasan karbon, strategi perolehan bahan api, dan penilaian kebolehlaksanaan teknologi yang dipilih.

Katanya, fasa FEED dijangka selesai pada April 2024 manakala pembakaran bersama peringkat awal dijadualkan pada suku ketiga tahun 2026 selepas selesai kerja-kerja pengubahsuaian stesen janakuasa.

Ujarnya, ia selaras dengan sasaran pengurusan karbon TNB iaitu pelepasan Karbon Dioksida (CO2) 0.35 tan CO2 per jam megawatt (t-CO2/MWh) menjelang 2035.

"Kerjasama bersama IHIserta permulaan FEED menandakan satu lagi pencapaian signifikan TNB dalam komitmen mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan menggapai masa depan tenaga lestari, selaras dengan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan matlamat Sifar Bersih TNB sendiri menjelang 2050.

"Melalui TNB Genco, portfolio penjanaannya menyokong penuh usaha kerajaan dalam perjalanan peralihan tenaga dan nyah karbon.

"Sebagai pembekal tenaga utama di Semenanjung Malaysia, TNB komited sepenuhnya untuk menyokong aspirasi Malaysia dalam dekarbonisasi dan kelestarian, menujuk negara neutral karbon 2050. Projek ini selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi pemimpin global dalam mengurangkan GHG," tambahnya.

Pengurus Eksekutif, Presiden Bahagian Sumber, Tenaga dan Alam Sekitar IHI Corporation, Koji Takeda berterima kasih kepada TNB Genco atas keyakinan terhadap kepakaran IHI serta pengetahuan mereka mengenai teknologi neutral karbon melalui kerjasama fasa FEED itu.

Katanya, TNB dan IHI berkongsi hasrat untuk mempercepatkan dekarbonisasi bagi mewujudkan dunia yang lebih baik dan sejahtera.

"Melalui kerjasama ini, kita yakin dapat mencipta impak besar untuk mempercepat peralihan tenaga yang bertanggungjawab di rantau ini. Kami mahu memperluaskan kerjasama ini ke peringkat seterusnya," katanya.

Projek pembakaran bersama ini telah dikenal pasti sebagai salah satu inisiatif NETR di bawah teraju TNB.

TNB akan bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan mendorong amalan lestari melalui semua inisiatif dalam NETR termasuk penubuhan Zon Tenaga Boleh Baharu (RE) di lima lokasi, masing-masing dengan kapasiti 100 MW, dan pembangunan solar terapung di empangan TNB dengan kapasiti keseluruhan 2,500 MW. - DagangNews.com