TNB jangka penghutang ICPT berkurangan didorong penurunan harga arang batu

Business & Finance
26 Sep 2023 • 12:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB jangka penghutang ICPT berkurangan didorong penurunan harga arang batu

diyana

26/09/2023 - 12:41

KUALA LUMPUR 26 Sept - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka meraih trend positif pengurangan penghutang pelepasan kos tidak seimbang (ICPT), berikutan harga sederhana arang batu, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din.

Beliau berkata perrkembangan ini secara ketara mengukuhkan modal kerja TNB, sekali gus meningkatkan aliran tunai dan memperbaiki tahap penggearan pada 2023.

Pengurangan harga arang batu global, berserta pendekatan proaktif TNB bagi meningkatkan kutipan hasil, telah meletakkan prospek aliran tunai lebih baik kepada syarikat, disokong oleh pinjaman RM6 bilion yang dijamin kerajaan untuk menstabilkan industri tenaga.

Faktor-faktor ini secara kolektif menyumbang kepada pengukuhan aliran tunai TNB dan tahap penggearan kumpulan pada separuh pertama 2023 (1H2023).

"Pengurusan berhemah kewangan TNB ini membolehkan syarikat memberi ganjaran kepada pemegang saham kami dengan dividen interim sebanyak 18 sen, yang merangkumi 49.4% daripada pelarasan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI)," kata Baharin pada taklimat kepada penganalisis mengenai keputusan kewangan suku kedua kumpulan.

image is not available
Datuk Baharin Din

Sementara itu, penambahbaikan penghutang ICPT disokong oleh pemulihan kos ICPT sebanyak RM10.4 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2023, menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan terhadap rangka kerja kawal selia berasaskan insentif (IBR) dan mekanisme ICPT untuk 18 kitaran sejak 2015.

Tambahan pula, TNB dijangka memperoleh semula RM4.7 bilion kos ICPT daripada Kerajaan pada separuh kedua tahun ini.

Mengulas mengenai prospek, TNB menganggarkan pemulihan kira-kira RM7 bilion daripada ICPT bagi separuh pertama tahun kewangan 2024, berdasarkan arah aliran harga bahan api semasa, mencerminkan pendekatan proaktif TNB dalam mengurus prospek kewangannya dan mengawal perbelanjaan berkaitan bahan api.

“Walaupun menghadapi cabaran yang berpunca margin negatif bahan api negatif dan turun naik pertukaran asing, TNB melaporkan prestasi membanggakan dalam persekitaran yang mendesak ini,” kata Baharin mengulas prestasi TNB pada 1H2023.

Dalam tempoh berkenaan, TNB melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.2 bilion, manakala hasil menyaksikan peningkatan 3.8% kepada RM25.95 bilion, berbanding tempoh yang sama pada 2022. - DagangNews.com