TNB perintis platform kerjasama GLC, perkukuh budaya keselamatan tempat kerja

19 Jun 2023 • 12:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB perintis platform kerjasama GLC, perkukuh budaya keselamatan tempat kerja

zulfadli

19/06/2023 - 12:45

KUALA LUMPUR 19 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil peranan mempromosikan persekitaran kerja yang selamat dengan menjadi tuan rumah sulung kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menjayakan sidang kemuncak keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan pekerja GLC, sempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia 2023 baru-baru ini.

Program julung kali Sidang Kemuncak Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan GLC (GLC OSH Summit) 2023 di Bangi, Selangor itu membincangkan cabaran berkaitan dengan sasaran memperkukuhkan lagi budaya keselamatan dan pematuhan peraturannya secara lebih konsisten.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, sidang kemuncak ini adalah simbol komitmen dan perpaduan janji dalam kalangan GLC untuk memperkasakan amalan budaya kerja berteras keselamatan yang lebih cekap dan berkesan.

"Ia memberi impak positif kepada GLC, apatah lagi ia menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya Melindungi Hak Buruh dan Mempromosikan Persekitaran Kerja Yang Selamat,” katanya di Majlis Perasmian GLC OSH Summit 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

GLC OSH Summit menjadi platform perkongsian amalan terbaik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) GLC bagi menambah baik sistem di organisasi masing-masing, membincangkan isu terkini dan langkah ke hadapan, menjalin dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan GLC dari sektor yang berlainan, dan mewujudkan ruang menyuarakan saranan serta cadangan kepada pihak kerajaan bagi menambah baik pengurusan KKP negara.

Program sehari itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Mohd Anuar Embi dan ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan.

Seramai 210 peserta dari 25 GLC, kementerian, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu bagi memperkasakan rangkaian GLC dan pihak berkepentingan demi memastikan tahap fizikal, mental dan sosial yang tinggi dalam persekitaran kerja di organisasi masing-masing. - DagangNews.com