TNB perkenal bahagian baharu kelestarian untuk kukuhkan kemampanan

1 Jun 2023 • 1:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB perkenal bahagian baharu kelestarian untuk kukuhkan kemampanan

zulfadli

01/06/2023 - 13:34

KUALA LUMPUR 1 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mewujudkan 'Bahagian Kelestarian' dalam inisiatif terbaharu memacu pelaksanaan strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sekali gus mengukuhkan komitmen kemampanannya dan Peralihan Tenaga (ET) yang bertanggungjawab.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, bahagian baharu itu, yang bermula 1 Jun 2023 akan memacu agenda kelestarian TNB dengan berpaksikan kepada tiga tonggak strategik iaitu Sumber Tenaga, Vektor Tenaga dan Penggunaan Tenaga.

"Bagi memacu Pelan Peralihan Tenaganya, TNB mewujudkan Rangka Kerja Peralihan Tenaga bersepadu bagi memandu kumpulan menuju masa depan lebih mampan di sepanjang rantaian nilai elektriknya dengan bertunjangkan tiga tonggak tersebut," katanya selepas Taklimat Penganalisis TNB untuk pengumuman keputusan kewangan suku pertama kumpulan di Platinum TNB, Bangsar, baru-baru ini.

Untuk itu, Ketua Pegawai Risiko (CRO) TNB, Leo Pui Yong dilantik sebagai Ketua Pegawai Kelestarian (CSO) pertama, yang bertanggungjawab memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus kelestarian serta pelaksanaan berkesan strategi dan inisiatif kemampanan.

Dalam hala tuju kelestariannya, TNB menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Aspirasi ini disokong oleh komitmen mengurangkan intensiti pelepasan karbon kepada 35% serta kapasiti penjanaan arang batu kepada 50% menjelang 2035.

Mengenai tonggak Sumber Tenaga, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) komited dengan beberapa rancangan pengembangan mulai 2023.

Ini termasuk pembinaan Projek Hidro Nenggiri yang dijadualkan beroperasi pada 2027, memuktamadkan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) baharu Program Pelanjutan Hayat Sungai Perak, model kebolehlaksanaan Pemerkasaan Semula Paka dan kerjasama pembangunan baharu Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan 2,100 MW di Kapar.

image is not available

Selain itu, TNB Genco dan anak syarikat, TNB Remaco Sdn Bhd telah menyatakan hasrat terhadap projek tenaga LNG di Vietnam dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan North Power Service Joint Stock Company (EVNNPS) untuk kerjasama masa depan dalam perkhidmatan berkaitan tenaga berpotensi di negara tersebut.

Baharin berkata, anak syarikat milik penuh TNB di United Kingdom (UK), Vantage RE Ltd telah memperoleh portfolio angin darat 97.3MW dan portfolio solar Sedia-Untuk-Bina 102MW di UK dengan pilihan tambahan untuk membangunkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri 65MW, dengan operasi komersial dijangka pada suku kedua 2024.

"Vantage menyasarkan untuk mengembangkan portfolionya dengan aset medan hijau dalam pelbagai teknologi dan lokasi di seluruh Eropah. Sementara itu, TNB Bukit Selambau Solar Dua Sdn Bhd (TBSS2) memperoleh pembiayaan sehingga RM185 juta untuk projek LSS ketiganya di bawah program LSS4 kerajaan," katanya.

Dalam aspek Vektor Tenaga, TNB melalui Bahagian Grid sedang berunding dengan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia dan Singapura bagi membentuk jawatankuasa bersama bagi kajian kebolehlaksanaan kesalinghubungan kedua di antara Semenanjung dan republik itu.

Demikian juga bagi kesalinghubungan di antara Semenanjung-Sumatera dan Sabah-Kalimantan, TNB sedang berbincang dengan Perusahaan Listrik Negara (PLN) Indonesia bagi menyediakan MoU untuk menyambung semula kajian kebolehlaksanaannya.

Baharin berkata, TNB dan Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT) pula sudah pun menjalin kerjasama melalui Jawatankuasa Kerja Bersama dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk meningkatkan kapasiti kesalinghubungan Malaysia-Thailand.

"Mengenai Penggunaan Tenaga, TNB GSPARX Sdn Bhd akan meningkatkan pasaran Tenaga Boleh Baharu (TBB) sambil mengembangkan sumber hasil TNB. GSPARX menyasarkan kapasiti penjanaan solar sekitar 145 megawatt puncak (MWp) untuk 2023.

"Melalui 1,926 projek solar atas bumbung yang diperoleh dengan jumlah kapasiti 272 MWp, GSPARX dijangka menjana pendapatan RM70 juta tahun ini. Ketika ini, TNB sudah menyediakan enam poin pengecas kenderaan elektrik (EV), TNB Electron di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) terpilih di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dengan tiga lagi dalam perancangan menjelang akhir 2023," katanya.

Baharin berkata, 2023 terus menjadi satu lagi tahun yang menarik dalam usaha kumpulan untuk mencapai aspirasi Sifar Bersih 2050.

Katanya, TNB telah menerima lonjakan permintaan untuk bekalan voltan tinggi terutamanya daripada syarikat pembuatan dan Pusat Data Besar (hyperscale DC) dengan potensi maksimum sebanyak 4,300 megawatt (MW).

"Ini termasuk pelaburan DC oleh syarikat antarabangsa utama dengan permintaan maksimum 760 MW terutamanya di Selangor dan Johor. Untuk memenuhi permintaan DC, TNB telah menubuhkan Pusat Sehenti (OSC) demi memastikan proses yang lancar dan mesra perniagaan.

"TNB melihat ini sebagai pertumbuhan permintaan dan peluang perniagaan yang berpotensi yang akan memberi kesan berganda kepada ekonomi, menggalakkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak AS$43 bilion menjelang 2035 dan pelaburan TBB di Malaysia," katanya.

Dari segi serantau, Bahrin berkata, TNB telah meningkatkan agenda ET yang bertanggungjawab melalui kerjasama dengan peneraju tenaga utama di Thailand, Vietnam dan Laos untuk memanfaatkan permintaan serantau dengan tenaga lebih hijau.

"Selain memperoleh aliran pendapatan TBB yang baharu, kerjasama ini membolehkan penyepaduan dan pengagihan semula sumber TBB yang lebih luas dalam membantu menyahkarbonkan sistem tenaga ASEAN di samping bekalan lebih terjamin di rantau ini.

"Perkongsian strategik ini akan meningkatkan pacuan berterusan kami untuk mengukuhkan kesalinghubungan Grid Tenaga ASEAN dan mengukuhkan lagi aspirasi Malaysia untuk menjadi hab TBB untuk ASEAN," katanya. - DagangNews.com