TNB perkukuh kesiapsiagaan bekalan elektrik sempena LIMA 2025

LocalBusiness & Finance
19 May 2025 • 6:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Warga kerja TNB komited melaksanakan kerja-kerja senggaraan lampu jalan LED sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang LIMA 2025.

image is not available
Warga kerja TNB giat melaksanakan persiapan dengan menyemak semua sistem rangkaian pembahagian termasuk Sistem Pengawasan dan Pemerolehan Data bagi memastikan bekalan elektrik sentiasa berada dalam keadaan teratur selaras dengan jangkaan peningkatan beban penggunaan semasa LIMA 2025.

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil pelbagai langkah untuk memperkukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan bekalan elektrik sepanjang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 bermula 20 hingga 24 Mei 2025.

Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 154 kakitangan berada dalam keadaan siap siaga di lapangan dan bilik gerakan bagi memastikan bekalan elektrik berterusan dan berdayaharap sepanjang acara itu.

**media[3132117]**

"Sejak akhir tahun 2024, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan merangkumi semakan dan penyenggaraan sistem 11kV dan 33kV di lokasi-lokasi utama LIMA 2025.

"Antara lokasinya, termasuklah Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), Langkawi International Convention Centre (LICC) dan Resort World Langkawi," katanya pada Isnin.

Kenyataan itu turut menyatakan, bilik gerakan TNB pula telah diaktifkan sejak Ahad lepas hingga 25 Mei depan.

TNB turut menempatkan aset-aset seperti janakuasa bergerak di lokasi strategik.

Selain itu, kenyataan itu memberitahu, TNB bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuklah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Langkawi serta Pasukan Polis Marin bagi memastikan penyelarasan persiapan secara menyeluruh.

Dalam pada itu, TNB kekal komited untuk memastikan pengalaman pengguna yang selamat, lancar dan meyakinkan kepada semua pihak terlibat dengan LIMA 2025, meskipun dengan permintaan tenaga dijangka mencecah 85MW sepanjang acara.