TNB peroleh lanjutan PPA Stesen Janaelektrik Hidro Sultan Mahmud 400MW di Kenyir, Terengganu hingga 2030

LocalBusiness & Finance
26 May 2026 • 10:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB peroleh lanjutan PPA Stesen Janaelektrik Hidro Sultan Mahmud 400MW di Kenyir, Terengganu hingga 2030 Image from: TNB peroleh lanjutan PPA Stesen Janaelektrik Hidro Sultan Mahmud 400MW di Kenyir, Terengganu hingga 2030 johardy26/05/2026 - 10:14 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperoleh lanjutan selama lima tahun bagi perjanjian pembelian tenaga (PPA) untuk Stesen Janaelektrik Hidro Sultan Mahmud di Kenyir, Terengganu sekali gus memastikan operasi berterusan kemudahan berkapasiti 400MW itu sehingga 31 Ogos 2030.

 

Lanjutan yang berkuat kuasa secara retrospektif mulai 14 September 2025 itu diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga dan bertujuan memastikan operasi stesen hidro Kenyir berjalan tanpa gangguan sebelum pelaksanaan Program Pelanjutan Hayat Hidro (HLEP).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TNB berkata lanjutan tersebut diperlukan bagi menyokong penjanaan elektrik secara berterusan ketika kerja pembaikan dan baik pulih utama dilaksanakan ke atas unit penjanaan loji berkenaan.

 

Stesen Janaelektrik Hidro Sultan Mahmud, yang turut dikenali sebagai SJ Kenyir, mempunyai empat unit penjanaan dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 400MW dan memainkan peranan penting dalam menyokong kebolehpercayaan sistem grid, khususnya di wilayah timur Semenanjung Malaysia.

 

TNB berkata lanjutan itu juga akan memastikan kesinambungan sumbangan pendapatan daripada SJ Kenyir dalam tempoh interim selain menyokong kestabilan portfolio penjanaan syarikat ketika utiliti nasional itu beralih ke arah operasi jangka panjang menerusi inisiatif HLEP.

 

Tutup TNP Construction

Dalam makluman berasingan, TNB turut mengumumkan penutupan secara sukarela anak syarikat tidak aktifnya, TNP Construction Sdn. Bhd. (TNPC), sebagai sebahagian daripada langkah rasionalisasi kumpulan.

 

TNPC, anak syarikat milik penuh TNB Properties Sdn. Bhd. yang juga dimiliki sepenuhnya oleh TNB, mengadakan mesyuarat agung pada 25 Mei 2026, di mana pemegang saham meluluskan resolusi untuk menutup syarikat itu secara sukarela menurut Seksyen 439(1) Akta Syarikat 2016.

 

Syarikat itu turut melantik Imran Azam Safar daripada MA Corporate Restructuring & Insolvency Services sebagai pelikuidasi.

 

TNPC yang diperbadankan pada 22 Jun 1998 sebelum ini terlibat dalam aktiviti kontraktor pembinaan namun kini tidak lagi aktif.

 

TNB berkata anak syarikat tersebut bukan unit utama dalam kumpulan dan kos pelaburannya hanya berjumlah RM600,001.. - DagangNews.com

Terkini featured standard