TNB sokong subsidi bersasar untuk bantu rakyat memerlukan, kekalkan pertumbuhan ekonomi
zulfadli
18/05/2023 - 16:17
KUALA LUMPUR 18 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyokong pemberian subsidi bersasar demi membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara dan meringankan tekanan kos ke atas golongan berpendapatan rendah, kata pengerusinya, Datuk Abdul Razak Abdul Majid.
Dengan inflasi lebih tinggi menjejaskan isi rumah dan perniagaan katanya, kerajaan pada penghujung 2022 mengumumkan pelaksanaan skim subsidi elektrik bersasar untuk pengguna domestik, yang terus menikmati rebat tarif ke atas bil elektrik serta tidak menaikkan surcaj untuk kumpulan perniagaan kecil dan industri terpilih.
Beliau berkata, TNB akan terus menyokong usaha berterusan kerajaan untuk mengurus tarif mengikut mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), sambil mengimbangi perlunya tarif yang wajar untuk rakyat dan pertumbuhan ekonomi.
"Sebagai sebuah entiti korporat yang prihatin, TNB memahami keperluan membantu rakyat berpendapatan rendah untuk menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.
"Pada masa sama, kami meneruskan usaha berkongsi kemakmuran dengan masyarakat menerusi inisiatif pendidikan dan sosioekonomi yang berkesan," katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-33 di sini, hari ini.
Abdul Razak berkata, TNB kekal teguh dengan komitmennya memenuhi keperluan tenaga pelanggan industri, komersial dan kediaman di tengah-tengah harga bahan api yang tinggi sejak 2022 dan pemulihan memberangsangkan ekonomi Malaysia.
"Pelaburan besar TNB untuk mempelbagaikan sumber tenaga serta mengembangkan portfolio Tenaga Boleh Baharu (TBB) selama ini, membolehkan kami terus menyediakan tenaga berdaya harap dan mampan.

"Usaha ini diiktiraf pelanggan melalui prestasi konsisten selama dua tahun berturut-turut dalam skor Indeks Kepuasan Pelanggan kami dengan 87% pada 2022," katanya.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, pada kemuncak krisis tenaga global tahun lalu, harga arang batu dan gas mencapai paras tertinggi dengan peningkatan masing-masing sebanyak 83% dan 11% dari tahun ke tahun.
Beliau berkata, Malaysia turut tidak terlepas daripada kenaikan harga bahan api, yang memberi kesan besar kepada kos penjanaan elektrik.
Katanya, walaupun krisis tenaga telah memberi kesan kepada kos sistem tenaga negara sejak dua tahun lalu, ia telah mengukuhkan tekad TNB untuk mempercepatkan pelaksanaan menuju campuran sumber penjanaan lebih bersih menjelang 2050.
"Ini bermakna TNB mengalihkan pergantungannya yang tinggi terhadap sumber bahan api fosil bagi penjanaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia, dengan kos bahan api menyumbang lebih 70% kepada kos penjanaan.
"Walaupun begitu, kami terus memenuhi kewajipan dengan menyediakan bekalan tenaga berdaya harap, terjamin dan berpatutan kepada negara," katanya.
Beliau berkata, dalam menguruskan kos bahan api yang lebih tinggi, pihaknya terus bekerjasama dengan kerajaan dalam pelaksanaan mekanisme ICPT.
Di bawah mekanisme ini katanya, kerajaan menyediakan bayaran subsidi kepada rakyat bagi mengimbangi kos bahan api lebih tinggi dalam penjanaan elektrik, ditambah dengan pengurusan modal secara berhematnya, membantu TNB mengurangkan tekanan harga bahan api tinggi.
Dari segi operasi, Baharin berkata, TNB berjaya mengekalkan piawaian bertaraf dunia dengan loji janakuasanya merekodkan faktor ketersediaan sebanyak 83.2% manakala Sistem Minit Penghantaran, dengan penanda aras untuk minit gangguan disebabkan transmisi, adalah 0.2 minit pada 2022. Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) pula ialah 45.1 minit.
"Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen tenaga kerja kami dalam mengendalikan dan mengekalkan mutu infrastruktur bekalan elektrik negara pada tahap tertinggi," katanya.
Beliau berkata, 2022 menyaksikan TNB melakar trajektori lebih kukuh untuk menjadi peneraju penyelesaian tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa dalam pacuan Pelan Peralihan Tenaga (ET) TNB.
Katanya, dalam komitmen kepada Pelan ET pihaknya, sambil memacu peralihan tenaga Malaysia, TNB akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) yang signifikan bagi mempercepatkan pacuan peralihan TNB kepada pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Tambah beliau, matlamatnya adalah masa depan TNB dalam jangka panjang dengan pelaburan ini secara beransur-ansur akan mengalihkan portfolio sedia ada kepada lebih hijau, merangsang pertumbuhan perniagaan TNB yang lebih mampan sambil mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang saham. - DagangNews.com

