TNB, Solarvest, YTL Power, Samaiden pilihan utama RHB Research raih kontrak LSS6 RM15 bilion

LocalBusiness & Finance
17 Jul 2026 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB, Solarvest, YTL Power, Samaiden pilihan utama RHB Research raih kontrak LSS6 RM15 bilion Image from: TNB, Solarvest, YTL Power, Samaiden pilihan utama RHB Research raih kontrak LSS6 RM15 bilion amree17/07/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Julai — Tenaga Nasional Berhad (TNB), Solarvest Holdings, YTL Power International dan Samaiden Group berpotensi meraih kontrak RM15 bilion menerusi program solar berskala besar 6 (LSS6).

 

Menurut RHB Research, empat syarikat tersebut dinilai sebagai saham pilihan utama yang wajar diberi perhatian pelabur susulan pelancaran rasmi program tenaga boleh diperbaharui (RE) negara itu.

 

Katanya, program yang dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) itu dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan sektor dalam beberapa tahun akan datang.

 

"Di sebalik persaingan sengit bidaan dan pulangan berpotensi rendah, kami melihat pelaksanaan LSS6 sebagai pemacu positif kepada syarikat-syarikat tenaga dan kejuruteraan tempatan," katanya.

 

Ujar RHB Research, LSS6 menawarkan kuota keseluruhan 2.5GW kapasiti solar, dengan 1.25GW sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta 150MW untuk syarikat Bumiputera di Semenanjung Malaysia.

 

Program berkenaan katanya, menyasarkan tarikh operasi komersial selewat-lewatnya 31 Disember 2029 dan dibahagikan kepada tiga pakej dengan dua daripadanya dikhaskan kepada syarikat Bumiputera.

 

Artikel berkaitan: Kerajaan lancar LSS6 dengan kuota 2,500MW, dijangka tarik pelaburan sehingga RM15 bilion

 

solar_DagangNews2026

 

Berdasarkan kepada tempoh penilaian lazim, firma penyelidikan tersebut menjangkakan keputusan mengenai penganugerahan projek boleh diumumkan kerajaan seawal Ogos hingga September tahun ini.

 

"Dari segi nilai pembangunan, jumlah perbelanjaan modal (capex) keseluruhan projek boleh mencecah RM13 bilion, dengan kos pembangunan sekitar RM3.5 juta bagi setiap MW solar," kata RHB Research.

 

Bagaimanapun, ia mengingatkan syarat perjanjian pembelian tenaga (PPA) dan kadar pulangan dalaman (IRR) masih belum diumumkan, dengan kemungkinan hasil projek hanya paras pertengahan satu digit.

 

Pada masa sama ujarnya, kos pembangunan projek RE dijangka terus mendapat sokongan apabila harga modul panel solar fotovolta (PV) didapati semakin menurun terutamanya daripada pembekal China.

 

 

 

 

 

 

RHB Research menilai penurunan harga perak kepada kira-kira 47% daripada paras tertinggi Januari 2026, selain harga polisilikon China merosot 38% sejak awal tahun, dijangka turut membantu pemain.

 

"Sehubungan itu, perkembangan tersebut akan mengurangkan lagi kos pemasangan dan meningkatkan daya saing pembangunan projek LSS6 pada masa hadapan," kata firma berkenaan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved