TNB ulangi komitmen terajui pelaksanaan peralihan tenaga selaras aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050

22 May 2023 • 2:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB ulangi komitmen terajui pelaksanaan peralihan tenaga selaras aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050

zulfadli

22/05/2023 - 14:38

KUALA LUMPUR 22 Mei - Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengulangi komitmen syarikat untuk menerajui pelaksanaan peralihan tenaga dengan aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan agenda negara menangani perubahan iklim.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, Malaysia melihat keperluan untuk meningkatkan celik tenaga dalam kalangan rakyatnya.

"Pada Mac 2023, NRECC dan TNB melancarkan Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP).

"Dengan meningkatkan tahap peka tenaga, kita boleh mempromosikan generasi pengguna Malaysia yang memahami kepentingan tenaga, mampu memikirkan kemampanan sistem tenaga dan boleh menggunakan tenaga secara lebih berkesan dan bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, lebih 200 peserta menyertai Seminar Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dengan kerjasama TNB yang berlangsung di Pusat Konvensyen TNB, Menara Platinum TNB, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) NRECC, Datuk Mohamad Razif Abd Mubin; Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid; Presiden Fomca, Prof. Emeritus Datuk Dr. Marimuthu Nadason; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Datuk Abdul Razib Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Datuk Hamzah Hussin.

Seminar tersebut berfungsi sebagai platform untuk bertukar-tukar idea dan mengukuhkan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swasta serta mempamerkan komitmen berterusan Malaysia ke arah meningkatkan peka tenaga menerusi MELP.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, Malaysia berada di landasan betul ke arah tenaga bersih dan tenaga boleh baharu (TBB) dengan tenaga terkumpul berkaitan pelepasan karbon dioksida (CO2) dijangka dikurangkan sebanyak 40% daripada 70% menjelang 2050.

image is not available

Katanya, menurut Indeks Peralihan Tenaga terkini oleh Forum Ekonomi Dunia, Malaysia menduduki tempat ke-39, dengan prestasi sistem pada 69% dan kesediaan peralihan pada 60%.

"Salah satu keputusan pertama kerajaan baharu ialah memulakan perubahan ke arah subsidi bersasar dalam mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

"Untuk terus melindungi pengguna domestik yang paling layak, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan sektor pertanian, pengguna lain mesti membayar pada kadar paling hampir dengan harga pasaran tenaga elektrik," katanya.

Katanya, semua pihak perlu terlibat dalam peralihan tenaga dan terdapat langkah mudah yang boleh dilakukan pengguna biasa untuk mengurangkan pembaziran tenaga.

Menyedari bahawa dasar komprehensif dan dinamik adalah penting untuk mendorong pengguna mengurus penggunaan elektrik mereka dengan lebih baik, Nik Nazmi berkata, kementeriannya bercadang untuk membentangkan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) tahun ini.

"Ia juga bakal mendorong pengguna untuk menggunakan peralatan dan perkakas yang lebih cekap serta mengurus penggunaan tenaga secara berhemah, sekali gus mengurangkan pembaziran dengan produktiviti lebih baik," katanya.

Sementara itu, Abdul Razib menjadi moderator seminar itu membincangkan sokongan terhadap dasar yang jelas, meningkatkan kesedaran dan pendidikan pengguna, memacu TBB, menggalakkan kerjasama dalam kalangan agensi dan pengguna.

Paling penting ialah keperluan untuk mencari keseimbangan antara tenaga berdaya harap, mampu bayar dan mampan serta kesannya terhadap kehidupan seharian rakyat Malaysia. - DagangNews.com