
TNB Umum Rebat Elektrik 0.47 Sen Bagi Bulan April
Boleh dikatakan hampir sepanjang masa setiap isi rumah menggunakan elektrik seperti kipas, penghawa dingin, peti sejuk dan banyak lagi.
Apatah lagi, elektrik merupakan salah satu komponen penting perbelanjaan isi rumah dan perniagaan.
Penggunaan sumber tenaga ini perlu berdaftar dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi ia boleh dinikmati oleh rakyat.
Di Semenanjung Malaysia, industri bekalan elektrik adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), serta dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Walau bagaimanapun, penggunaan sumber tenaga ini perlu dibayar setiap bulan oleh setiap isi rumah, dan harga bayaran bil juga dipengaruhi oleh cara penggunaan isi rumah itu.
Rebat Elektrik Bulan April

Tenaga Nasional Bhd (TNB) semalam mengumumkan kadar Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) bagi April, dengan pengguna bakal menerima rebat lebih rendah kepada 0.47 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj).
Pengguna Yang Dikenakan Pengecualian AFA
Walau bagaimanapun, AFA ini tidak tertakluk kepada pelanggan domestik dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah iaitu jumlah bil kira-kira RM215.98.
Ia termasuk Caj Peruncitan dan SST 8 peratus, manakala mereka yang menggunakan 300 kWj dan ke bawah sebulan turut dikecualikan daripada Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB).
Dalam pada itu, TNB menerusi laman sesawangnya, memaklumkan AFA akan tertera setiap bulan dalam bil elektrik sekiranya terdapat perubahan pada harga pasaran bahan api dan kadar pertukaran mata wang asing.
Kadar Unjuran AFA Bagi 3 Bulan Depan
Syarikat utiliti itu juga memberitahu unjuran kadar AFA untuk tiga bulan bagi Mei (-0.39 sen/kWj), Jun (-0.91 sen/kWj) dan Julai (+0.08 sen/kWj) yang dikemas kini setakat 30 Mac, 2026.

"Pengisytiharan kadar AFA (dalam unit sen/kWj) adalah berdasarkan pengesahan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) atau seperti yang dimaklumkan secara rasmi melalui keputusan Menteri," katanya.
Baca juga:Apa Itu AFA?
AFA merupakan mekanisme yang diselaraskan berdasarkan kos pasaran bahan api (gas, arang batu dan lain-lain) dan kadar pertukaran asing, menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebelum ini, yang digunakan sebagai mekanisme untuk mengira bil elektrik.
Layari pautan http://www.mytnb.com.my/tariff untuk maklumat lanjut dan untuk mengetahui kadar pelarasan AFA bulanan.
