TNB wujud perkongsian rentas sempadan dengan PT PLN, SSPA bagi tingkatkan visi grid tenaga ASEAN
zulfadli
05/10/2023 - 12:26
KUALA LUMPUR 5 Okt - Dalam langkah penting ke arah memupuk peralihan tenaga yang bertanggungjawab di rantau Asia Tenggara, Tenaga Nasional Berhad (TNB), memeterai dua perkongsian strategik dengan rakan seperniagaan dari Indonesia dan Singapura.
Kerjasama ini bertujuan mempercepatkan usaha mewujudkan saling hubung Grid Tenaga ASEAN, meningkatkan daya tahan tenaga, keterjaminan bekalan serta menggalakkan penyepaduan tenaga boleh baharu (TBB) di seluruh rantau ini.
Melalui memorandum persefahaman (MoU) pertama, TNB bekerjasama dengan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) dan Pusat Tenaga ASEAN (ACE), untuk menjalankan kajian bersama kebolehlaksanaan meneroka potensi kesalinghubungan elektrik rentas sempadan yang menghubungkan Sumatera, Indonesia dan Semenanjung Malaysia.
Projek kesalinghubungan ini dianggap penting dalam memudahkan penyepaduan sumber TBB dan merangsang pembangunan ekonomi di seluruh negara anggota ASEAN.
Skop kajian bersama kebolehlaksanaan merangkumi penilaian teknikal, semakan dasar dan peraturan, analisis ekonomi, rangka kerja komersial, penilaian awal kesan alam sekitar dan sosial, serta pelan pelaksanaan.
Dalam usaha selari, TNB bersama SP Power Assets (SPPA), syarikat penghantaran dan pengedaran elektrik terkemuka di Singapura, giat meneroka kebolehlaksanaan teknikal fasiliti kesalinghubungan tenaga kedua di antara Semenanjung Malaysia dan republik itu.
Apabila siap kelak, ia bakal meningkatkan lagi perdagangan tenaga antara kedua-duanya dan mengukuhkan daya harap bekalan tenaga.

Majlis menandatangani kedua-dua MoU ini berlangsung ketika Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-41 di Bali, Indonesia pada 25 Ogos 2023. Ia dihadiri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad, bersama menteri tenaga negara ASEAN lain.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din mengulas mengenai kepentingan perjanjian ini berkata, penandatanganan MoU ini menandakan peristiwa penting dalam usaha TNB untuk mengukuhkan daya harap dan daya tahan grid tenaga ASEAN yang saling hubung.
"Ia juga akan menggalakkan penyepaduan TBB di rantau ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau menekankan bahawa APG yang saling hubung adalah langkah kritikal dalam peralihan tenaga rantau ini ke arah masa depan lebih bersih dan mampan.
Presiden Pengarah PT PLN (Persero), Darmawan Prasodjo berkata, pihaknya akan memasuki fasa kritikal peralihan tenaga yang menawarkan cabaran luar biasa dan peluang yang hebat.
Katanya, grid yang saling hubung menawarkan kemampan bekalan tenaga hijau yang berdaya harap, teguh dan mampu bayar di rantau ini.
"Bagaimanapun, kami mesti menangani kerumitan dalam membentuk dan membina grid yang saling hubung. Kerumitan penjajaran dasar, cabaran teknikal, kerumitan kebolehlaksanaan komersial dan kerumitan pelaburan modal yang besar.
"Kami membina Grid Pintar untuk menyepadukan sistem saling hubung berdasarkan inovasi digital untuk memudahkan variasi TBB berskala besar memasuki ekosistem. Kami membina grid Super Pemboleh Hijau untuk menghubungkan sumber TBB kepada pusat permintaan.
"Kami komited sepenuhnya untuk menjadikan impian kesalinghubungan ASEAN menjadi kenyataan. Grid Tenaga ASEAN lebih daripada sekadar menara, wayar dan pencawang.
"Ia merupakan lambang kekuatan baharu ASEAN. Yang sebelum ini terasing untuk menjadi bersatu. Ia adalah asas kepada masa depan yang lebih cerah dan berdaya tahan untuk rakyat kita, Keluarga ASEAN," katanya.
Pengarah Eksekutif ACE, Dr Nuki Agya Utama dalam keyakinan terhadap inisiatif transformatif ini berkata, penandatanganan MoU ini menandakan satu peristiwa penting bagi rantau ASEAN.
Beliau berkata, ia mencerminkan dedikasi bersama pelbagai pihak berkepentingan dalam menyambut era kerjasama tenaga mampan.
Katanya, kesalinghubungan rentas sempadan yang dibayangkan berpotensi bukan sahaja meningkatkan keterjaminan tenaga tetapi juga mengenengahkan sumber TBB yang luas, menetapkan standard baharu untuk kerjasama serantau.
"Inisiatif progresif ini adalah teras Kajian Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN (AIMS) III Fasa 1 dan 2, hasil kerjasama rapat antara ACE dan Ketua Utiliti/Pihak Berkuasa ASEAN (HAPUA).
"Kajian ini menyediakan pelan hala tuju untuk infrastruktur penghantaran penting yang diperlukan untuk memudahkan perdagangan tenaga pelbagai hala dalam ASEAN, ditambah dengan penyepaduan lancar TBB ke dalam APG," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SP, Stanley Huang berkata, pihaknya komited mengukuhkan daya harap rangkaian sambil menyediakan grid untuk penyepaduan sumber tenaga mampan.
"Dalam menyokong peralihan tenaga, jawatankuasa bersama akan mengkaji kebolehlaksanaan teknikal demi meningkatkan kesalinghubungan serantau untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat dan membolehkan akses lebih besar kepada TBB," katanya.
Katanya, kerjasama ini mengikrar janji besar dalam meluaskan keterjaminan tenaga, menggalakkan penyepaduan TBB, dan membentuk masa depan lebih berdaya tahan serta mampan untuk komuniti ASEAN. - DagangNews.com

