GEORGE TOWN – Tokoh ulama yang disegani di Pulau Pinang, Rosli Othman disifatkan sebagai figura yang berjaya menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang menerusi pendekatan sederhana, ilmu serta akhlak yang ditonjolkan sepanjang kehidupan beliau.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Rosli atau lebih mesra disapa Tok Ayah bukan sekadar dihormati kerana keilmuan dimiliki malah turut memainkan peranan sebagai murabbi yang membentuk masyarakat merentasi perbezaan usia, latar belakang dan fahaman.
Menurut beliau, Rosli bukan individu asing dalam dunia keilmuan Islam kerana pernah berkhidmat sebagai mantan Ahli Majlis Fatwa Pulau Pinang selain dikenali sebagai individu yang mendalami empat mazhab dan menjadi rujukan masyarakat dalam pelbagai perkara berkaitan agama.
“Keilmuan serta pengalaman luas dimiliki Tok Ayah menjadikan beliau antara individu yang sering dirujuk pelbagai pihak termasuk pemimpin politik bagi mendapatkan pandangan serta nasihat.
“Keupayaan beliau dalam bahasa Arab turut menjadi keistimewaan tersendiri apabila pernah menghasilkan teks ucapan pemimpin negara dalam bahasa tersebut.
“Sepanjang perkhidmatan, Tok Ayah pernah menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selain menghasilkan lebih 25 buah buku agama berbentuk terjemahan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, Rosli turut memainkan peranan penting sebagai salah seorang panel tauliah yang bertanggungjawab menilai guru agama di negeri ini.
Menurutnya, di sebalik latar belakang akademik dan pengalaman luas dimiliki, sifat rendah hati serta mesra dengan semua lapisan masyarakat menjadi faktor utama yang menyebabkan Rosli terus dihormati ramai.
“Sama ada masyarakat kampung, penduduk bandar, golongan muda, warga emas mahupun ahli politik tanpa mengira fahaman, semuanya boleh duduk bersama dan mendapatkan pandangan beliau.
“Tok Ayah bukan sahaja menjadi rujukan dalam hal ehwal agama malah tempat masyarakat mendapatkan pandangan berkaitan isu sosial dan kebajikan,” katanya.
**media[3541731]**
Beliau berkata demikian selepas berpeluang menziarahi Tok Ayah sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini.
“Dalam kunjungan tersebut, Tok Ayah turut menghadiahkan saya sebuah kitab alih aksara bahasa Melayu berjudul Syarah Bagi Matan Jawharah al-Tauhid sebagai tanda penghargaan atas kunjungan berkenaan.
“Ziarah tersebut merupakan pengalaman bermakna yang akan terus diingati dan saya berharap Tok Ayah terus diberikan kesihatan yang baik serta kekuatan untuk meneruskan usaha membimbing masyarakat,” katanya.
Tambah Steven, kehadiran tokoh seperti Rosli amat penting dalam memastikan generasi muda bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan tetapi turut dibentuk dengan nilai akhlak dan adab yang baik.
“Saya percaya dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, kita memerlukan lebih ramai murabbi seperti Tok Ayah yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi membentuk akhlak serta nilai kemanusiaan dalam masyarakat.
“Tok Ayah bukan sekadar seorang ilmuwan atau tokoh agama yang dihormati, tetapi figura yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

