SHAH ALAM - Enam bekas pemimpin UMNO antara 21,858 ahli baharu yang disahkan kembali menyertai parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Mereka ialah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; bekas Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; pemimpin veteran juga bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Datuk Mokhtar Samad.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu direkodkan sejak pendaftaran dalam talian dibuka pada 20 April lalu.
"Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, pendaftaran ahli baharu dan kemasukan kembali bekas-bekas pimpinan dan ahli-ahli parti UMNO termasuk pimpinan parti Bersatu seluruh Malaysia berjumlah 21,858.
"Moga ALLAH berkati dan rahmati Rumah Bangsa ini yang banyak jasanya dalam mencorakkan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang lapan dekad di persada perjuangan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Rumah Bangsa ialah inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahli menyertai parti itu.






