Tol Percuma, Cuti Umum Tambahan Antara Hadiah Aidilfitri Untuk Rakyat - PM

18 Apr 2023 • 2:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pengecualian bayaran tol selama empat hari kepada semua pengguna jalan raya di seluruh negara akan bermula 19 hingga 21 April ini dan 24 April depan. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan memberi ‘hadiah istimewa’ kepada rakyat sempena Aidilfitri 2023, termasuk pengecualian bayaran tol selama empat hari kepada semua pengguna jalan raya di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua ikhtiar itu dilaksanakan bagi meringankan beban dan memberi kegembiraan kepada rakyat pada perayaan berkenaan.

Katanya, pengecualian tol di bawah inisiatif dinamakan Tol RAHMAH Percuma itu, dilaksanakan bermula 19 April hingga 21 April ini dan 24 April depan.

“Pelaksanaan Tol RAHMAH Percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.

“Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung,” katanya menerusi Perutusan Khas Sempena Perayaan Aidilfitri 2023 hari ini.

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

Anwar berkata, memandangkan pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal Aidilfitri akan dibuat pada Khamis, 20 April ini oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya.

Menurutnya, sekiranya 1 Syawal diraikan pada Jumaat, 21 April, kerajaan menetapkan Isnin, iaitu 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951, bagi Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagaimanapun, katanya, jika 1 Syawal adalah pada Sabtu, 22 April, kerajaan menetapkan Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan.

“Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri bolehlah mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

“Kerajaan Perpaduan terus komited memastikan kebajikan rakyat di bawah Malaysia MADANI sentiasa terbela dalam segenap aspek. Diharap dengan pelbagai ikhtiar dan program khas dilaksanakan, semoga sambutan Aidilfitri kali ini dapat memberi seribu makna buat seluruh rakyat,” katanya.

image is not available
Kerajaan dengan usahasama pasar raya terpilih setuju untuk menawarkan harga barangan mentah bagi pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas. - Gambar fail

Beliau berkata, bagi memastikan kelestarian inisiatif Menu RAHMAH pula, kerajaan menerusi usaha sama dengan pasar raya terpilih, bersetuju menawarkan harga barangan mentah, seperti ayam, bawang dan produk asas makanan bagi keperluan pengusahanya pada kadar diskaun khas.

Ujarnya, ikhtiar itu diharapkan dapat memberi kelegaan kepada pengusaha, selain memastikan kelangsungan pelaksanaan Menu RAHMAH yang sudah berjaya memberikan manfaat besar, khususnya kepada rakyat kurang berkemampuan.

Ikhtiar terbabit, katanya, menunjukkan kerajaan amat menghargai sumbangan pengusaha Menu RAHMAH yang sama-sama menjayakan aspirasi MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Pada masa sama, kerajaan turut cakna dan prihatin dengan kos pengeluaran perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah,” katanya. – Getaran, 18 April 2023