Tolak isu Adendum pengampunan Najib berisiko cabar kedudukan Agong, Raja-Raja: PAS

LocalPolitics
23 Dec 2025 • 12:27 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - PAS menyifatkan sebarang usaha atau percubaan untuk menempatkan kuasa dan budi bicara pengampunan Diraja di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi, berpotensi besar untuk menceroboh ketetapan Perlembagaan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu percaya apa-apa keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasa budi bicaranya di bawah peruntukan tadi adalah jelas berada dalam kerangka Perlembagaan.

Jelas beliau, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memberi pengampunan, menangguhkan atau mengurangkan hukuman adalah merupakan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri.

“Ia adalah kuasa eksekutif yang dijalankan melalui Lembaga Pengampunan dan tidak tertakluk kepada persetujuan kehakiman, sokongan pentadbiran atau penerimaan politik.

“Justeru sesuatu kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan Diraja.

“PAS dengan tegas berpandangan Isu Addendum yang merupakan sebahagian keputusan langsung Yang di-Pertuan Agong Ke-IV mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran seperti mana yang berlaku dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

Dalam penghakimannya, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.

Takiyuddin juga menegaskan prinsip-prinsip Perlembagaan tidak boleh sama sekali dilaksanakan secara selektif mengikut keperluan politik atau individu yang berbeza.

“Perlembagaan tidak menerima hirarki atau kelas dalam kalangan rakyat terutama dalam menjalankan kuasa pengampunan Diraja. Kewujudan persepsi berlakunya layanan yang tidak setara pastinya akan merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem pemerintahan yang terbina berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang,’’ katanya.

Beliau menambah, meskipun akur bahawa keputusan badan kehakiman hendaklah sentiasa dihormati sebagai antara tonggak utama kedaulatan undang-undang, namun ia tidaklah sehingga menafikan hak dan kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat (freedom of expression) yang juga dijamin oleh Perlembagaan.

“Ia adalah kuasa eksekutif yang dijalankan melalui Lembaga Pengampunan dan tidak tertakluk kepada persetujuan kehakiman, sokongan pentadbiran atau penerimaan politik,’’ katanya.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, PAS menyokong penuh hak bekas Perdana Menteri untuk memfailkan rayuan kesnya ke mahkamah yang lebih tinggi selaras dengan hak rayuan adalah jaminan serta perlindungan asasi setiap individu yang wajib dihormati dan dibenarkan berjalan dengan bebas, adil dan tanpa prejudis.

“PAS menggesa semua cabang kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan supaya bertindak dengan berani, telus dan setia berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan supaya keadilan akan tertegak secara konsisten dan kehormatan serta kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja terus terpelihara,’’ katanya. - 23 Disember, 2025

The post Tolak isu Adendum pengampunan Najib berisiko cabar kedudukan Agong, Raja-Raja: PAS appeared first on Scoop.