johardy06/05/2026 - 18:16 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Mei - Tomypak Holdings Berhad mengesahkan subsidiari milik penuhnya, Tomypak Flexible Packaging Sdn Bhd (TFP), telah mengalami kegagalan pembayaran (default) bagi beberapa obligasi pinjaman dan pembiayaan setakat 30 April 2026 melibatkan beberapa institusi kewangan utama.
Menurut makluman syarikat pembungkusan itu kepada Bursa Malaysia, kemungkiran itu membabitkan bayaran balik prinsipal dan faedah bagi kemudahan dagangan yang diberikan oleh AmBank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad, selain kemudahan sewa beli industri oleh MBSB Bank Berhad serta ORIX Leasing Malaysia Berhad.
Syarikat menjelaskan keadaan tersebut berpunca daripada ketidaksepadanan sementara aliran tunai kumpulan, sementara beberapa inisiatif pembiayaan sedang dimuktamadkan.
Tomypak berkata pihaknya kini sedang giat berunding dengan semua pemberi pinjaman bagi menstruktur semula kedudukan kewangan dan menyelesaikan tunggakan dalam tempoh segera.
Antara langkah yang diambil termasuk cadangan pengaturan pembiayaan baharu serta pelaksanaan penempatan persendirian yang telah diumumkan pada 29 April 2026.
Selain itu, syarikat turut menjangkakan kutipan daripada penghutang perdagangan dalam masa terdekat akan membantu mengurangkan sebahagian bayaran tertunggak tersebut.
Dari sudut implikasi undang-undang, sekiranya TFP gagal menyelesaikan tunggakan, pihak pemberi pinjaman berhak mengambil tindakan termasuk memulakan prosiding undang-undang serta melaksanakan hak terhadap cagaran seperti harta dan saham subsidiari.
Rundingan Aktif Dijalankan
Namun begitu, Tomypak menegaskan bahawa rundingan dengan pihak bank sedang berjalan secara aktif bagi mencapai penyelesaian secara baik.
Dari aspek operasi, kumpulan menyatakan bahawa kemungkiran tersebut tidak dijangka memberi kesan material secara serta-merta kepada operasi, namun boleh memberi tekanan kepada prestasi kewangan dan kedudukan kecairan sekiranya tidak ditangani segera.
Dalam masa sama, lembaga pengarah Tomypak menyatakan, selepas mengambil kira kedudukan aliran tunai semasa serta unjuran kewangan kumpulan, syarikat masih dianggap mampu mengekalkan tahap kesolvenan dan berupaya melunaskan obligasi dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Tomypak turut menegaskan TFP merupakan subsidiari utama kumpulan, dan pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan bagi memastikan kestabilan kewangan syarikat. - DagangNews.com



