Tong ais simpan 3,000 bungkus air ketum

LocalPolitics
23 Nov 2024 • 8:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebanyak 3,000 bungkusan air ketum dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya dekat Ipoh pada Jumaat. Foto IPD Ipoh

image is not available
Dua periuk sebagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti memproses air ketum. Foto IPD Ipoh

image is not available
Polis turut menjumpai 35 bungkusan plastik hitam mengandungi dedaun ketum seberat 350 kilogram. Foto IPD Ipoh

IPOH - Satu sindiket memproses dan menjual air ketum yang aktif sejak dua tahun lalu tumpas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya di sini pada Jumaat.

Serbuan sekitar jam 12.10 tengah malam itu menahan enam lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 42 tahun dipercayai ahli sindiket.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemeriksaan kemudiannya menemui 3,000 bungkusan air ketum dianggarkan 900 liter yang tersimpan dalam tong air berwarna oren.

Menurutnya, turut dijumpai 35 bungkusan plastik hitam mengandungi dedaun ketum seberat 350 kilogram, tiga unit tong gas dan dua periuk.

"Nilai keseluruhan bungkusan air dan daun ketum yang dirampas berjumlah RM41,000.

"Semua bekalan tersebut diproses dan siap dibungkus untuk diedarkan di sekitar kawasan Ipoh," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, sindiket terbabit mula aktif dalam aktiviti pengedaran air ketum sejak tahun 2022 dengan menyasarkan penagih ketum di daerah itu.

Katanya, semakan rekod lampau menunjukkan, dua daripada suspek pernah ditangkap masing-masing atas kesalahan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Akta Racun 1952.

"Ujian saringan air kencing mendapati, hanya seorang daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

"Kesemua suspek telah direman selama tiga hari sehingga esok (Ahad) bagi siasatan kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

View Original Article