
SHAH ALAM – Dua lelaki termasuk seorang tonto didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 71 pertuduhan memberi rasuah kepada anggota polis trafik dan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM67,100.
Tertuduh, Ang Lie Giap, 33, yang merupakan tonto dan R. Yuvarajakumar, 42, sebagai pengurus logistik membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Lie Giap didakwa 55 pertuduhan secara rasuah memberikan wang berjumlah keseluruhan RM62,900 kepada tiga anggota polis masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Pejabat Peronda Lebuhraya EMPV Kesas,
Ia sebagai dorongan supaya mereka tidak menjalankan pemeriksaan terhadap lori-lori semasa sekatan jalan raya.
Kesemua suapan antara RM700 hingga RM2,000 itu didakwa dibuat melalui transaksi di beberapa cawangan bank di Klang dan Setia Alam antara Januari 2022 hingga Februari 2026.
Yuvarajakumar, 42, pula didakwa 16 pertuduhan memberi rasuah keseluruhan RM4,200 kepada pembantu penguat kuasa JPJ Wangsa Maju antara Mei 2023 dan Oktober 2024, sebagai dorongan supaya tidak menjalankan pemeriksaan terhadap lori.
Pembayaran tersebut dilakukan melalui beberapa transaksi ke akaun bank milik seorang wanita di sebuah cawangan bank di Sungai Buloh.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan RM15,000 bagi Ang dan RM10,000 untuk Yuvarajakumar dengan seorang penjamin.
Pendakwaan turut memohon syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, Peguam K. Theivaendran memohon jaminan Lie Giap dikurangkan kepada RM10,000 dengan isterinya juga dijangka melahirkan anak sulung hari ini.
“Tertuduh tidak berisiko melarikan diri dan membantu menguruskan perniagaan ladang ayam milik bapanya dengan pendapatan antara RM3,000 dan RM3,500 sebulan.
“Turut mohon pasport tidak diserahkan ekoran tertuduh kerap ke luar negara atas urusan keagamaan,” katanya.
Sementara itu, Peguam Datuk Dr. Aswandi Mohamed Hashim dalam rayuan memohon jaminan RM5,000 kepada Yuvarajakumar yang perlu menanggung ibunya yang sakit asma.
Mahkamah membenarkan Lie Giap dan Yuvarajakumar masing-masing diikat jamin RM RM15,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin selain membenarkan syarat pendakwaan kecuali serahan pasport oleh Lie Giap.
Sebutan semula kes pada 3 Disember depan. – KOSMO! ONLINE
The post Tonto, pengurus logistik suap polis, JPJ RM67,100 appeared first on Kosmo Online.
