Tony Pua mungkin dipanggil susulan pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan - KPN

LocalPolitics
24 Nov 2026 • 8:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tony Pua mungkin dipanggil susulan pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan - KPN
Mohd Khalid menyampaikan ucapan pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Polis tidak menolak kemungkinan memanggil pemimpin DAP, Tony Pua berhubung pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, perkara itu akan dirujuk kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

"Setakat ini, tak ada laporan polis berhubung isu ini... semua benda ini digembar-gemburkan di media sosial dan sebagainya tapi pihak polis bersedia untuk menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan polis menggerakkan segala sumber bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat berkenaan susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya polis menyiasat dakwaan kebocoran dan penyebaran dokumen itu.

Ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menafikan dakwaan kononnya kerajaan menyebarkan minit mesyuarat itu yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum dan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib itu disebarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri atau Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata sebahagian dokumen berkenaan dinyahklasifikasikan oleh AGC bagi tujuan persiapan jawapan dalam menghadapi kes berkaitan isu itu yang dibawa ke mahkamah. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved