Top Glove terus berdepan cabaran dan daya saing berterusan sepanjang 2023, Kenanga Research unjur kerugian bersih FY23 melebar 26%

Business & Finance
19 Jun 2023 • 11:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Top Glove terus berdepan cabaran dan daya saing berterusan sepanjang 2023, Kenanga Research unjur kerugian bersih FY23 melebar 26%

diyana

19/06/2023 - 11:27

KUALA LUMPUR 19 Jun - Kerugian bersih Top Glove Corporation Berhad pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) melebihi unjuran kerugian bersih tahun penuh Kenanga Research dan konsensus.

Menurut Kenanga Research, kerugian bersih kumpulan itu pada RM464 juta lebih tinggi daripada unjuran tahun penuhnya sebanyak RM450 juta dan anggaran konsensus pada RM461 juta akibat jumlah jualan lebih lemah daripada jangkaan dan peningkatan kos.

Firma itu berkata kumpulan itu telah mengulangi bahawa landskap perniagaan yang mencabar dan berdaya saing akan berterusan sepanjang 2023.

“Kami memperluaskan unjuran kerugian bersih kumpulan bagi FY23 sebanyak 26% kepada RM568 juta daripada RM450 juta selepas mengurangkan andaian penggunaan kami kepada 30% daripada 35%, namun mengekalkan keuntungan FY24,” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Susulan taklimat penganalisis daripada Top Glove, firma itu mendapati bahawa kumpulan itu mendapat tentangan untuk menaikkan harga jualan sebanyak 3 hingga 5% pada suku-suku berikutnya, di mana ia mungkin menyebabkan pelanggan beralih kepada pengeluar lain, terutamanya pengeluar China yang masih menjual pada harga AS$17 hingga 18 setiap 1,000 keping.

Di samping itu, Kenanga Research meragui jumlah jumlah jualan meningkat pada suku berikutnya memandangkan masih terdapat lebih bekalan berterusan, di mana firma itu berpendapat bahawa tiada keperluan mendesak bagi pembeli untuk membuat pesanan besar atau memegang stok yang banyak kerana bekalan adalah banyak dan mudah didapati.

Menurut firma itu, kumpulan itu akan terus menekankan pengurusan kos yang lebih baik, meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan inisiatif automasi, termasuk menyahtauliah barisan pengeluaran usang dan menghentikan sementara pengeluaran 17 daripada 49 kilangnya, memandangkan permintaan sarung tangan global lebih perlahan.

Mengulas mengenai prospek industri sarung tangan getah, Kenanga Research menganggarkan situasi permintaan dan bekalan akan mula seimbang pada tahun 2025 ketika tiada lagi kapasiti baharu sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun, disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan.

Firma itu menjangkakan keadaan lebihan kapasiti akan berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan akan datang dan mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada 2023, sejajar dengan ramalan Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) dengan pertumbuhan 12 hingga 15% setiap tahun dari 2023.

“Bagaimanapun, ini tidak banyak membantu untuk mengurangkan keadaan lebihan kapasiti kerana kapasiti pengeluaran sarung tangan global akan meningkat 12% lagi kepada 574 bilion keping pada tahun ini, bermakna harga rendah dan penggunaan kilang yang tertekan akan terus melanda industri pada tahun 2023,” jelasnya.

“Kami mengulangi saranan ‘underperform’ tetapi menurunkan harga sasaran (TP) 88 sen sesaham daripada 90 sen sebelum ini,” ujarnya.

Pada pukul 11:24 pagi ini, saham Top Glove telah susut 1.5 sen atau 1.5% kepada 96 sen dengan modal pasaran sebanyak RM7.88 bilion. -DagangNews.com