Industri pencetakan 3D bermula sebagai sebuah hobi dimana sesiapa sahaja boleh merekacipta produk ataupun bahagian-bahagian kecil dan kemudiannya mencetaknya di rumah, dan secara ringkasnya, boleh menjimatkan kos membeli aksesori-aksesori kecil dalam jangka masa panjang.
Teknologi pencetakan 3D telah maju sepanjang tempoh beberapa tahun ini dari segi sokongan penggunaan bahan berbeza dan juga kerumitan dan skala produk yang boleh dicetak. Kini, ia telah dibuktikan bahawa bangunan juga boleh dibangunkan melalui teknologi tersebut.

Dinamakan Tor Alva, menara setinggi 30 meter ini dibangunkan di perkampungan Mulegns di Switzerland menggunakan konkrit yang dibentuk menggunakan pencetakan 3D dan hadir dengan beberapa komponen tambahan untuk tujuan pengukuhan.
Ia dibina oleh arkitek Michael Hansmeyer dan Profesor Benjamin Dillenburger, seorang pensyarah di ETH Zurich, sebuah universiti awam di Switzerland, dan struktur ini cukup kukuh untuk orang memasuki dan berjalan di dalamnya. Ia terdiri daripada 32 tiang konkrit yang dicetak menggunakan pencetak 3D besar dan juga bahan konkrit yang dibangunkan khusus untuk tujuan ini. Kubah di bahagian atas menara ini juga dicetak menggunakan teknik yang sama.
Komponen-komponen bangunan ini mengambil masa lima bulan untuk dicetak di ETH Zurich, dimana ia kemudiannya dipindahkan ke ETH Hönggerberg untuk dipasang, dan kemudiannya ke Mulegns untuk didirikan.
Projek ini sedikit sebanyak memperlihatkan bagaimana masa hadapan industri pembinaan boleh berubah dengan teknologi baru, dimana rumah ataupun bangunan boleh dibina dengan kos lebih rendah dan masa yang lebih singkat.
