amree22/09/2026 - 11:44 (Dari kiri) Pengarah Rangkaian Perusahaan dan Perniagaan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) TP-Link Malaysia, Alvin Ou Zexin; Pengarah Serantau TP-Link Malaysia, Hugo Cai Zhenbiao; Presiden TAR UMT, Prof Datuk Ir Dr Lee Sze Wei dan Naib Presiden (Penyelidikan & Pembangunan dan Pengkomersialan) TAR UMT, Prof Dr Loke Chui Fung. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept — TP-Link Distribution Malaysia Sdn Bhd memperkukuh usaha melahirkan bakat teknologi tempatan dengan kerjasama industri-akademia menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) tiga tahun bersama Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada penyediaan kemahiran rangkaian perusahaan yang lebih praktikal kepada pelajar, termasuk pendedahan luas kepada teknologi sebenar, pensijilan profesional dan pengalaman industri sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.
TP-Link Malaysia akan menyepadukan rumusan rangkaian perusahaan Omada dalam persekitaran pembelajaran TAR UMT bagi membolehkan pelajar mendapat pengalaman secara langsung mengendalikan prasarana dan teknologi rangkaian yang digunakan perusahaan.
"Pelajar turut diberi akses bengkel teknikal, sesi perkongsian pengetahuan industri serta laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA), dan melengkapkan kelayakan akademik dengan rangkaian diiktiraf industri," katanya dalam kenyataan bersama.
Selain itu, pelajar TAR UMT berpeluang menjalani latihan amali dan latihan industri bersama TP-Link Malaysia bagi memberikan pendedahan kepada amalan kerja sebenar serta mengaplikasikan pengetahuan teknikal dalam persekitaran industri.
Pengarah Serantau TP-Link Malaysia, Cai Zhenbiao berkata, pendedahan industri perlu dimulakan lebih awal supaya pelajar dapat memahami bagaimana bidang teknologi perusahaan diaplikasikan, diurus dan berkembang dalam dunia yang sebenar.

Kerjasama dengan TAR UMT mencerminkan pendekatan TP-Link Malaysia merapatkan jurang antara industri dan akademia serta melahirkan bakat yang mempunyai asas teknikal dan perspektif praktikal sejajar dengan keperluan teknologi perusahaan yang terus berubah.
Dekan Fakulti Pengkomputeran dan Teknologi Maklumat TAR UMT, Ts Lim Shen Huoy berkata, kerjasama itu memperkukuh persekitaran latihan universiti dengan pelajar diberi peluang menguasai sistem bertaraf perusahaan dan memperoleh kelayakan diiktiraf global.
"Kedua-dua pihak turut akan meneroka peluang dalam penyelidikan, pertukaran pengetahuan teknikal, libat urus fakulti serta pelbagai inisiatif industri-akademia bagi menghubungkan kepakaran akademik dengan pengalaman industri," tambah kenyataan tersebut.
Penyertaan itu turut memperluas rangkaian kerjasama TP-Link Malaysia dengan institusi pengajian tinggi selepas sebelum ini bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan New Era University College.
TP-Link Malaysia berkata rangkaian kerjasama itu menyokong usaha pendekatan pembangunan bakat yang lebih bersepadu dengan menggabungkan pengetahuan industri, pembelajaran praktikal dan pensijilan profesional bagi melahirkan ramai tenaga mahir.
Usaha berkenaan ujarnya, termasuk dalam bidang rangkaian perusahaan, sekali gus menyokong keperluan ekonomi digital Malaysia yang semakin pesat berkembang sejak kebelakangan ini. - DagangNews.com




