
SHAH ALAM, 11 OKT: Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menanggung kesan jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia sudah menawarkan bantuan memadamkan kebakaran hutan di negara jiran itu, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.
“Kini kita terpaksa mengimport jerebu secara rela paksa dari Sumatera dan Kalimantan.
“Kita terpaksa menyedut apa yang dipanggil oleh mereka sebagai asap dan di sini sebagai jerebu...dan ini kita tidak ada pilihan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata Malaysia sebelum ini menawarkan bantuan sebuah pesawat, tiga helikopter dan anggota bagi membantu operasi memadamkan kebakaran hutan di Indonesia.

Menurutnya, tawaran itu dikemukakan ketika lawatan rasmi beliau ke Jakarta sebelum ini, termasuk pertemuan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan wakil Naib Presiden negara berkenaan.
Katanya, NADMA dan Kementerian Luar turut mengutus surat kepada rakan sejawat masing-masing di Indonesia berhubung tawaran bantuan tersebut, namun masih belum menerima sebarang jawapan.
“Kita menawarkan dengan ikhlas, tetapi tidak ada respons untuk kita membantu mereka. Kita ucapkan terima kasih.
“Dalam hal ini kita bersangka baik yang mungkin mereka tidak memerlukan bantuan kita. Saya katakan saya husnuzon...ya,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan isu jerebu tidak seharusnya dilihat sebagai perbalahan antara Malaysia dengan Indonesia, sebaliknya perlu ditangani menerusi kerjasama kedua-dua negara.
Mengulas kemungkinan tindakan perundangan berhubung isu berkenaan, beliau berkata perkara itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diteliti sekiranya perlu.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pendekatan penyelarasan dan pencegahan menerusi kerjasama serantau lebih baik berbanding tindakan perundangan.
“Atas semangat ASEAN, koordinasi untuk mengelakkan itu lebih baik,” katanya.
Majlis bertemakan Madani Siaga, Tanggungjawab Bersama itu turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Meor Ismail Meor Akim.




