TPS2025 Perkukuh Jaringan Industri Dan Perkasa Teknologi Nuklear Tempatan

LocalTechnology
15 Oct 2025 • 10:06 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

TPS2025 Perkukuh Jaringan Industri Dan Perkasa Teknologi Nuklear Tempatan

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi nuklear negara menerusi penganjuran Program Promosi Bersasar: Technology Preview & Showcase (TPS2025) yang telah berlangsung di Hotel Ixora, Pulau Pinang.

TPS mula diperkenalkan pada tahun 2015 sebagai kesinambungan kepada Hari Pelanggan Nuklear Malaysia. Sejak 2023, program ini dilaksanakan secara bersasar di luar ibu pejabat Nuklear Malaysia di Bangi. Pendekatan promosi bersasar ini membolehkan impak yang lebih menyeluruh dicapai, khususnya dalam usaha membina hubungan strategik yang mampan serta memberikan pendedahan lebih dekat kepada industri tempatan.

image is not available
YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi) Agensi Nuklear Malaysia semasa Majlis Perasmian Program Technology Preview & Showcase 2025 (TPS 2025) di Hotel Ixora, Pulau Pinang.

Sehingga kini, TPS telah berjaya dianjurkan di Kelantan, Pahang, Melaka, Johor dan Kedah dengan setiap edisi menerima sambutan positif daripada pelbagai pihak. Kejayaan penganjuran terdahulu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan edisi 2025 di Pulau Pinang.

Pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi TPS2025 adalah berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai hab industri elektronik, perkilangan berteknologi tinggi serta pelabuhan perdagangan antarabangsa. Kehadiran penyelidik Nuklear Malaysia di negeri ini membuka peluang untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan R&D nuklear kepada industri setempat, sekali gus membina kerjasama baharu dalam bidang berpotensi tinggi.

image is not available
Sesi bergambar kumpulan bersama para peserta di Majlis Perasmian Program Technology Preview & Showcase 2025 (TPS 2025)

Hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada wakil industri, syarikat swasta, agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan telah menyertai program ini. TPS2025 bertujuan memperkenalkan hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) teknologi nuklear tempatan kepada pemain industri serta membuka ruang jaringan strategik ke arah pengkomersilan produk dan teknologi.

image is not available
YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi), Agensi Nuklear Malaysia (dari kanan) mendengar taklimat daripada pegawai penyelidik Nuklear Malaysia berkaitan teknologi nuklear dalam penghasilkan produk penggalak tumbuhan semasa sesi lawatan di reruai Agensi Nuklear Malaysia.

Berteraskan konsep pameran, pembentangan ilmiah dan sesi padanan perniagaan, TPS2025 menjadi platform efektif untuk merapatkan jurang antara teknologi nuklear dan pihak industri serta pelanggan setempat.

Antara objektif utama penganjuran TPS2025 adalah untuk mengetengahkan hasil penyelidikan dan kepakaran penyelidik Nuklear Malaysia, mempertemukan penyelidik dengan pihak industri bagi mengenal pasti potensi penyelidikan yang menepati kehendak pasaran, mengukuhkan hala tuju ke arah pengkomersilan teknologi dan meningkatkan keyakinan industri terhadap keupayaan penyelidik tempatan dalam menyelesaikan cabaran saintifik industri.

image is not available
Penglibatan dan sokongan pelbagai agensi dan jabatan tempatan dalam menjayakan program.

Sepanjang program, pelbagai topik penting telah dibentangkan termasuk perkhidmatan dan Produk R&D Nuklear Malaysia. Setiap sesi pembentangan menekankan kepakaran teknikal dan aplikasi praktikal teknologi nuklear dalam memperkukuh daya saing industri, keselamatan, pemeliharaan alam sekitar serta jaminan sekuriti makanan negara.

image is not available

Penganjuran TPS2025 menzahirkan iltizam Nuklear Malaysia dalam mengarusperdanakan teknologi nuklear sebagai pemacu pembangunan sosio-ekonomi negara selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030. Inisiatif ini bukan sahaja memperluas jaringan kolaborasi antara penyelidik dan industri, malah memposisikan teknologi nuklear sebagai instrumen penting dalam mencorak masa depan negara yang lebih lestari dan berdaya saing.