TQ Wuling lancar Bingo EV, ‘hatchback’ elektrik mampu milik dengan harga bermula RM67,800

LocalCars
17 Dec 2025 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TQ Wuling lancar Bingo EV, ‘hatchback’ elektrik mampu milik dengan harga bermula RM67,800
image is not available
haziq17/12/2025 - 15:20 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Dis – TQ Wuling meluaskan penawaran kenderaan elektrik (EV) mampu milik di pasaran tempatan menerusi pelancaran rasmi TQ Wuling Bingo EV, sebuah ‘hatchback’ elektrik kompak yang dipasang secara tempatan dan ditawarkan pada harga bermula RM67,800.

 

Bingo EV, yang hadir dalam dua varian iaitu Bingo Pro dan Bingo Max, masing-masing ditawarkan pada harga atas jalan RM67,800 dan RM72,800. 

 

Sebagai tawaran pelancaran, syarikat itu menyediakan rebat RM5,000 kepada 500 pelanggan terawal, menjadikan harga jualan masing-masing RM62,800 bagi Bingo Pro dan RM67,800 bagi Bingo Max.

 

Bingo EV merupakan model pertama di bawah jenama TQ Wuling hasil kerjasama strategik antara Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCMH) dan SAIC-GM-Wuling (SGMW). 

 

Model ini juga mencatat sejarah sebagai kenderaan elektrik pertama yang dipasang secara tempatan di Kilang Pemasangan Tan Chong.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Chong Motor Holdings Daniel Ho berkata pelancaran Bingo EV mencerminkan komitmen kumpulan dalam menyokong pembangunan ekosistem mobiliti elektrik negara.

 

“Sebagai EV pertama yang dipasang secara tempatan di Kilang Pemasangan Tan Chong yang mempunyai hampir 50 tahun pengalaman dalam pembuatan automotif, Bingo EV mencerminkan komitmen kami untuk memajukan landskap mobiliti elektrik negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

image is not available

 

Dari segi rangkaian kuasa, Bingo EV dikuasakan oleh sistem bateri proprietari MAGIC milik SGMW yang dibangunkan berdasarkan lebih dua dekad kepakaran dalam teknologi EV. 

 

Varian Bingo Pro dilengkapi bateri lithium-iron-phosphate (LFP) berkapasiti 31.9 kWh, manakala Bingo Max menggunakan bateri 37.9 kWh.

 

Menurut TQ Wuling, Bingo Max mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 410 kilometer berdasarkan penarafan CLTC, manakala Bingo Pro menawarkan jarak sehingga 333 kilometer. 

 

Bateri tersebut turut mempunyai penarafan IP68, menjadikannya tahan habuk dan kalis air bagi melindungi sistem bateri daripada hujan lebat serta risiko banjir.

 

Kedua-dua varian dikuasakan oleh motor elektrik 50 kW dengan pacuan roda hadapan, menghasilkan kuasa 68 PS dan tork 150 Nm, serta dipadankan dengan transmisi gear penurunan kelajuan tunggal.

 

Dari aspek pengecasan, pengecasan pantas DC membolehkan bateri dicas daripada 30% ke 80% dalam kira-kira 35 minit. Bagi pengecasan AC, kapasiti penuh boleh dicapai dalam tempoh sekitar 4.5 jam bagi Bingo Pro dan 5.5 jam bagi Bingo Max.

 

Bingo EV ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Milky White, Neon Blue dan Lavender Purple, kesemuanya dipadankan dengan bumbung hitam serta mengekalkan konsep reka bentuk dalaman ‘retro moden’.

 

Ciri keselamatan merangkumi enam beg udara bagi kedua-dua varian, selain sistem keselamatan aktif seperti Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake-force Distribution (EBD) dan Electronic Stability Control (ESC). 

 

Model ini turut dilengkapi Blind Spot Warning System, EntrySafe System, Walkaway Auto-lock dan Unlock, Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) serta Low-Speed Pedestrian Alarm.

 

Bingo EV hadir dengan jaminan bateri selama lapan tahun atau 120,000 kilometer, jaminan motor pemacu lapan tahun atau 160,000 kilometer serta jaminan kenderaan selama lima tahun atau 150,000 kilometer.

 

Setakat ini, TQ Wuling mengendalikan enam bilik pameran khusus di Semenanjung Malaysia serta tujuh pusat servis selepas jualan melalui rangkaian servis Tan Chong sedia ada, sekali gus menyokong strategi pengembangan jenama itu di pasaran tempatan. - DagangNews.com

Terkini standard