Tragedi banjir Nepal: Malaysia serah bantuan kemanusiaan AS$1 juta

14 Oct 2026 • 6:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tragedi banjir Nepal: Malaysia serah bantuan kemanusiaan AS$1 juta

PUTRAJAYA – Malaysia pada Rabu menyerahkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$1 juta kepada Nepal bagi menyokong usaha pemulihan dan pembangunan semula susulan banjir yang melanda negara itu pada 26 Ogos lalu.

Kementerian Luar, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan cek sumbangan bernilai AS$1 juta kepada Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur, Mudita Bajracharya dalam satu majlis di sini.

Menurut kementerian itu, sumbangan berkenaan mencerminkan sokongan Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Nepal dalam menghadapi tempoh sukar susulan bencana berkenaan.

“Menteri Luar turut menyampaikan rasa simpati yang mendalam dan ucapan takziah Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang serta semua yang terjejas akibat bencana itu,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Mohamad turut menyambut baik kelulusan Ordinan baharu oleh kerajaan Nepal mengenai perisytiharan kematian mangsa bencana yang tidak dapat dihubungi, yang memendekkan tempoh berkenaan daripada 12 tahun kepada 45 hari selepas tarikh bencana, menurut kenyataan itu.

Ordinan baharu berkenaan akan memberikan kepastian undang-undang dan pentadbiran yang lebih jelas kepada keluarga yang terjejas.

Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Nepal di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa kerajaan Nepal kini sedang memperincikan Ordinan berkenaan serta modaliti berkaitan bagi tujuan pengeluaran sijil kematian.

Wisma Putra berkata, Malaysia terus bersama kerajaan dan rakyat Nepal dalam proses pemulihan dan pembangunan semula, serta akan terus menyokong usaha kemanusiaan antarabangsa dalam semangat kerjasama dan solidariti. – Bernama

The post Tragedi banjir Nepal: Malaysia serah bantuan kemanusiaan AS$1 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved