Seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang di Nepal susulan tragedi banjir dan tanah runtuh akhirnya ditemukan selamat selepas 37 hari terputus hubungan.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan terbaharu itu yang diumumkan Kementerian Luar Negeri.
Advertisement
Berita Harian Menurutnya, individu berkenaan hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober sebelum disahkan selamat dan kemudiannya pulang ke Malaysia.
“Individu terbabit sudah kembali ke Malaysia pagi ini dan kini bersama keluarganya. Satu keluarga akhirnya menerima semula insan yang mereka sayangi.”
Penemuan pada hari ke-37 beri kelegaan kepada keluarga
Manivannan berkata perkembangan tersebut amat melegakan bukan sahaja kepada keluarga individu berkenaan, malah kepada keluarga lain yang masih menunggu berita mengenai insan tersayang.
“Bagi MASFIH dan keluarga, penemuan seorang rakyat Malaysia yang selamat pada Hari ke-37 adalah satu perkembangan yang amat melegakan dan sangat bermakna.
“Setelah 37 hari berada dalam ketidakpastian, sebuah keluarga akhirnya menerima semula insan yang mereka sayangi. Kegembiraan keluarga ini turut dirasai oleh semua keluarga lain yang masih menunggu,” katanya dalam kenyataan.
Manivannan yang juga abang kepada Komathi Rethinam yang masih dilaporkan hilang berkata, individu yang ditemukan selamat itu merupakan rakyat Malaysia berbangsa Cina yang melakukan perjalanan secara bersendirian.
Menurutnya, individu tersebut juga merupakan satu-satunya pengembara solo dalam senarai asal 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan gagal dihubungi.
Kali terakhir berada di Nagthali Viewpoint
Hasil komunikasi langsung MASFIH bersama waris individu berkenaan, pihaknya dimaklumkan dia berada di Nagthali Viewpoint pada jam 3.26 petang, 25 Ogos lalu.
Lokasi itu direkodkan sehari sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku pada 26 Ogos.
Menurut Manivannan, individu berkenaan kemudiannya dipercayai terkandas untuk suatu tempoh akibat kemusnahan infrastruktur di kawasan terbabit.
“Menurut maklumat yang disampaikan oleh waris, beliau kemudiannya terkandas untuk suatu tempoh berikutan kemusnahan jalan dan jambatan, di samping ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses Wi-Fi yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi.
“Beliau akhirnya berjaya bergerak dan hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober sebelum kembali ke Malaysia pada pagi ini,” katanya.
Boleh selamat tetapi terputus komunikasi
Menurut Manivannan, perkembangan itu memberikan gambaran bahawa seseorang mungkin berada dalam keadaan selamat namun pada masa sama terputus daripada komunikasi untuk tempoh yang panjang.
Keadaan itu sekali gus memberikan harapan baharu kepada keluarga 54 lagi rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi sehingga kini.
“Jika seorang rakyat Malaysia boleh berada dalam keadaan selamat, terkandas dan terputus daripada komunikasi untuk tempoh yang panjang sebelum akhirnya berjaya ditemui dan kembali kepada keluarganya, kami tidak mahu kehilangan harapan terhadap 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
“Kami terus percaya keajaiban boleh berlaku,” katanya.
“Bukan sekadar perubahan angka daripada 55 kepada 54”
Tambah Manivannan, berita kepulangan seorang rakyat Malaysia itu membawa makna lebih besar daripada sekadar pengurangan jumlah individu yang masih hilang.
“Kami berharap kepulangan itu memberi sinar harapan kepada 54 keluarga yang lain, yang mana insan mereka sayangi juga mungkin masih berada di luar sana dan suatu hari nanti dapat kembali kepada pangkuan mereka,” katanya.
Beliau berkata perkembangan tersebut merupakan detik yang amat bermakna selepas sebuah keluarga terpaksa melalui 37 hari penuh ketidakpastian sebelum akhirnya bertemu semula dengan insan tersayang. – HARIAN METRO
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Dakwaan Penceramah Bebas Berkelakuan Tidak Senonoh Tular, Fadhlina Arah Semua Program Dihentikan Serta-Merta
The post Tragedi Banjir Nepal : Seorang Rakyat Malaysia Dilaporkan Selamat, Sudah Lapor Diri Di Kedutaan Malaysia first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





