Tragedi berkelah, tiga beranak lemas di Sungai Balak

5 May 2024 • 4:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Perkelahan sebuah keluarga berakhir tragedi apabila seorang bapa bersama dua anaknya lemas ketika mandi di Sungai Balak, Batang Kali pada Ahad.

image is not available
Anggota bomba mengangkat mayat salah seorang mangsa lemas di Sungai Balak, Batang Kali pada Ahad.

image is not available
Anggota bomba menemukan kesemua mangsa lemas kira-kira jam 1.35 tengah hari pada Ahad.

HULU SELANGOR - Perkelahan sebuah keluarga berakhir tragedi apabila seorang bapa bersama dua anaknya lemas ketika mandi di Sungai Balak, Batang Kali dekat sini pada Ahad.

Mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 43 tahun dan dua anaknya iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun dan kanak-kanak lelaki berumur enam tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.09 tengah hari.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan Pelabuhan Klang kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja menyelamat.

"Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak yang dipercayai lemas ketika mandi di sungai berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa berjaya ditemui pada jam 1.35 tengah hari pada jarak kira-kira 30 meter dari lokasi mereka mandi.

"Mayat kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!