Seekor ibu gajah dilihat enggan berganjak selepas anaknya mati dilanggar dalam kejadian di Jalan Felda Nitar, Mersing, Johor awal pagi tadi.
Kejadian menyayat hati itu berlaku sekitar jam 2.28 pagi selepas seekor anak gajah betina dilanggar sebuah Perodua Bezza.
Menerusi video yang tular, ibu gajah berkenaan dilihat masih setia berada di sisi anaknya dan dipercayai menunggu selama kira-kira tujuh jam.

Tragedi ini turut mengingatkan orang ramai kepada kejadian hampir sama yang pernah berlaku di Gerik, Perak pada 11 Mei tahun lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 8.30 pagi sebelum empat anggota dihantar ke lokasi untuk siasatan awal.
Setibanya di lokasi, pihak Perhilitan mendapati seekor anak gajah betina dianggarkan berusia lima tahun telah mati akibat pelanggaran, manakala seekor gajah dewasa dipercayai ibunya masih berada di kawasan kejadian.
“Siasatan turut mendapati kumpulan gajah berkenaan dikenal pasti daripada ID Jamaluang-Mersing.”
“Anak gajah itu dikenal pasti sebagai gajah betina dengan ukuran panjang badan kira-kira 150 sentimeter, tidak mempunyai gading serta lebar tapak kaki hadapan 11 inci dan tapak kaki belakang 14 sentimeter,” katanya.
Menurut jurucakap itu lagi, pasukan Unit Tangkapan Gajah daripada Pusat Santuari Gajah Johor (JES) turut membantu mengalihkan ibu gajah berkenaan ke dalam hutan.
Bangkai anak gajah itu kemudian ditanam di kawasan berhampiran.
Pihak Perhilitan turut memaklumkan rondaan akan dilakukan pada malam ini dan esok bagi memastikan keselamatan ibu gajah tersebut, selain mengelakkan haiwan berkenaan daripada kembali ke lokasi kejadian.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

"Arwah Tidak Sempat Melihat LRT3 Siap" - Anak Sambung Legasi Ayah Dalam Industri Rel Hampir 30 Tahun
The post Tragedi Berulang, Ibu Gajah ‘Setia’ 7 Jam Di Sisi Anak Yang Mati Dilanggar Kereta first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






