KUALA SELANGOR - Seorang pemancing dilapor hilang, manakala seorang lagi selamat selepas bot dinaiki terbalik ketika perjalanan pulang ke jeti di Kampung Kuantan di sini pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 6.47 petang.
Menurutnya, kedua-dua mangsa ialah lelaki tempatan berusia 73 dan 49 tahun.
"Dalam kejadian itu, mangsa berusia 49 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dilaporkan hilang.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah memasuki hari kedua hari ini (Jumaat)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi pencarian telah dijalankan menggunakan bot selain teknik 'surface searching'.
Katanya, memasuki hari kedua SAR, radius pencarian seluas satu hingga tiga kilometer ke hulu sungai dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM.
"Setakat jam 6.30 petang hari ini tiada petunjuk penemuan mangsa," ujarnya.
Operasi SAR turut melibatkan kekuatan tujuh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).





