Pada 11 Mei 2025, negara dikejutkan dengan satu tragedi apabila seekor anak gajah jantan ditemukan mati selepas dilanggar sebuah lori ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Insiden menyayat hati itu bukan sahaja mencetuskan kesedihan dalam kalangan rakyat, malah membangkitkan persoalan yang lebih besar iaitu tentang pertembungan antara pembangunan manusia dan habitat semula jadi yang akan terus mengorbankan nyawa makhluk tidak berdosa.
Tragedi ini mengimbas kembali satu kejadian luar biasa yang berlaku lebih 130 tahun lalu seperti yang dikongsikan oleh Mazlan Syafie. Pada 17 September 1894 di Sungai Kerawai, Teluk Intan, seekor gajah jantan dewasa telah merempuh sebuah kereta api wap yang sedang bergerak di atas landasan, menyebabkan lokomotif dan tiga gerabak tergelincir.
Gajah tersebut mati di tempat kejadian, namun kisahnya tidak berakhir di situ. Ia kekal terpahat dalam sejarah sebagai satu insiden yang ganjil dan menyentuh hati, bukan hanya kerana kematiannya tetapi kerana persoalan yang masih belum terjawab hingga kini.
Tapak kejadian itu kini dikenali sebagai Memorial Pelanggaran Gajah, namun lokasinya semakin terlindung oleh semak samun dan tidak ramai generasi baharu yang mengenali kisah di sebaliknya.
Tengkorak dan gading gajah itu dipindahkan ke Muzium Perak di Taiping manakala tulang pahanya disimpan di ruang legar KTMB Johor Bahru. Walaupun fizikalnya telah dipisahkan, kisahnya kekal menghidupkan semula persoalan tentang emosi, naluri dan memori seekor haiwan.
Ramai tertanya, mengapa gajah itu bertindak melanggar kereta api? Adakah ia sesat, panik atau sedang mengingati sesuatu yang menyakitkan?
Memori yang panjang
Gajah dikenali sebagai haiwan yang memiliki daya ingatan luar biasa. Kajian menunjukkan mereka mampu mengingati tempat, suara dan individu selama puluhan tahun. Malah, mereka mampu bertindak balas berdasarkan memori silam sama ada dalam bentuk penghargaan mahupun dendam.
Maka tidak mustahil jika tindakan gajah di Sungai Kerawai itu adalah tindak balas terhadap kehilangan yang pernah dialaminya. Mungkin kawanan keluarganya pernah diburu. Mungkin habitatnya terganggu akibat pembinaan landasan tetapi yang pasti, kejadian itu bukan kemalangan spontan tetapi satu bentuk tindak balas terhadap trauma yang tidak pernah sembuh.
Tragedi Gerik-Jeli dan tragedi Sungai Kerawai walaupun berlaku lebih satu abad berbeza tetapi menyampaikan mesej yang sama, bahawa alam tidak lupa. Dalam budaya Melayu, gajah bukan sekadar haiwan besar, mereka digambarkan sebagai makhluk perkasa yang punya jiwa dan maruah.
Dalam budaya Asia Tenggara dan India, gajah dianggap suci dan dihormati. Maka apabila makhluk seperti ini menjadi korban kepada pembangunan manusia, ia bukan sekadar kerugian ekologi tetapi juga kehilangan nilai dan warisan.
Memorial Pelanggaran Gajah bukan sekadar tapak bersejarah. Ia adalah simbol peringatan bahawa alam juga mempunyai memori dan kadangkala memori itu lebih dalam daripada yang mampu difahami oleh manusia.
Tragedi demi tragedi mengingatkan kita bahawa menghormati alam bukan pilihan, tetapi tanggungjawab. Mungkin sudah tiba masa untuk kita berhenti melihat haiwan sebagai penghalang pembangunan sebaliknya sebagai makhluk Tuhan yang punya hak, sejarah dan tempat tersendiri di bumi ini.
Sumber : Facebok Mazlan Syafie
The post Tragedi gajah Sungai Kerawai, apabila alam tidak lagi berdiam appeared first on The Reporter.





