
Kota Kinabalu: Seorang wanita berumur 70 tahun yang terlibat dalam tragedi katamaran yang mengakibatkan kematian empat pelancong China, dipenjara selama lima bulan.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Chung Ket Siew @ Chung Siaw Ping, selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu pada Selasa.
Mahkamah mensabitkan Chung atas kedua-dua pertuduhan terhadapnya.
Pada pertuduhan pertama, Chung, Pengarah Syarikat Golden Sailing Travel Tour dan Kereta Sewa, dipenjara dua bulan kerana menyebabkan kecederaan kepada 20 pelancong China dengan membenarkan Leong mengurus dan menggunakan bot itu ke laut dengan begitu cuai sehingga membahayakan nyawa mereka.
Dia melakukan kesalahan itu bersama anaknya Leong Vin Jee, 44, dan kapten Sharezza Salian, 30, yang kedua-duanya didapati bersalah pada 1 Mac 2019 dan masing-masing menerima hukuman.
Kesalahan di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Chung dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian empat pelancong iaitu, He Runyuan, 46, Wang Jianyi, 38, Xie Luo, 49, dan Zhang Xiau Kun, 27, dengan membenarkan Leong yang kemudiannya mengarahkan Sharezza, untuk menggunakan bot dan memuatkannya yang membahayakan nyawa manusia.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Kesemua kesalahan itu berlaku di premis Golden Sailing Travel Tour dan Car Rental Sdn Bhd di Asia City, di sini, Jeti Kg Tanjung Aru Lama, perairan Pulau Mengalum, di sini, antara 9.15 pagi dan 11 pagi pada 28 Januari 2017 .
Pada 18 Julai 2018, Chung dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan itu tetapi pihak pendakwaan telah merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Tinggi memerintahkan Chung membela diri atas pertuduhan itu.
Pihak pembelaan telah memanggil Chung sebagai saksi tunggal semasa pembelaan. Semasa mitigasi, peguam Edward Paul yang mewakili Chung, meminta bon berkelakuan baik dikenakan ke atas Chung dengan alasan anak guamnya menghidap kanser payudara dan masih menjalani rawatan.
Edward yang mengemukakan laporan perubatan berhubung keadaan kesihatan Chung, berkata Chung memerlukan rawatan perubatan yang sewajarnya dan pihak hospital telah menetapkan tarikh temu janji Chung di hospital.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dacia Jane Romanus menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas alasan kejadian itu menjejaskan kehidupan pelancong dan sebahagian daripada mereka kehilangan keluarga semasa kejadian.
Dacia berkata dalam kapasiti Chung sebagai salah seorang pengarah syarikat, dia tidak melakukan apa-apa di atas bot katamaran itu, sambil menambah bahawa hukuman pencegahan harus diberikan untuk menghalang orang lain untuk tidak mengambil ringan tanggungjawab sebagai pengarah syarikat.
Dacia bersama DPP Nur Faezah Jafry melakukan pendakwaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
