Tragedi kepala air: Perkeso dapatkan butiran waris kadar segera

8 Jul 2023 • 12:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan mendapatkan butiran waris kepada dua mangsa terkorban dalam tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman iaitu Karim Abdullah, 39, dan Muhammad Fiqri Saliman, 24, dalam kadar segera bagi menyelesaikan bayaran faedah pengurusan jenazah.

Pertubuhan tersebut dalam satu kenyataan berkata, waris kepada dua mangsa terlibat layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) di bawah Skim Keilatan sebanyak RM2,000 setiap seorang mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Waris Karim iaitu adiknya, Muhammad Firdaus akan menerima FPM sebanyak RM2,000. Sebelum ini Allahyarham berkhidmat sebagai pengendali jentera berat di sebuah syarikat pembalakan telah melayakkan waris beliau menerima faedah Pencen Penakat.

“Namun isteri dan semua anaknya yang terkorban dalam kejadian kepala air serta ibu bapa Allahyarham juga telah meninggal dunia, maka tiada lagi waris yang layak menerima pencen ini,” katanya pada Sabtu.

Terdahulu pada Jumaat, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, dua mangsa yang maut dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Kemaman, layak menerima pampasan daripada Perkeso dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa tersebut adalah pencarum skim perlindungan.

Pada 1 Julai lalu, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Mayat Karim dijumpai pada Selasa bersama isteri dan empat anak mereka, manakala mangsa kesembilan, Muhammad Fiqri Saliman ditemui pagi semalam.

Sementara itu, menurut Perkeso, mangsa kesembilan dalam tragedi tersebut, iaitu Muhammad Fiqri juga layak menerima faedah tersebut dan akan dibayar kepada warisnya.

“Perkeso merakamkan ucapan takziah kepada waris keluarga dan semoga semua yang terkorban dalam tragedi penuh duka ini dicucuri rahmat Ilahi,” katanya.