
KUALA LUMPUR, 13 NOV: Mayat ketujuh mangsa insiden kepala air di Tapak Berkelah Sungai Pertak di sini ditemukan pada 3.40 petang tadi, menjadikan hanya seorang lagi daripada lapan mangsa yang dilaporkan hilang masih belum ditemukan.
Berdasarkan maklumat terkini Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), mayat lelaki dewasa warga India itu ditemukan di Sektor C kawasan pencarian.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Rasa pada 4.45 petang selepas dibawa ke PKTK.
Mayat berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis pada 4.59 petang sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima diteruskan dengan tumpuan di Sektor C dan D bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.
Operasi SAR hari ini bermula seawal 7 pagi dengan kekuatan tambahan daripada Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Turut digerakkan ialah Selangor Special Incident and Emergency Response Rapid Team (SIERRA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Malim Gunung Perhutanan (MGP), selain dua unit dron Pasukan Gerakan Udara bagi membantu pencarian di permukaan air.
Semalam, mayat keenam yang dikenal pasti sebagai lelaki warga Yaman ditemukan terapung pada 10.15 pagi di muara sungai berhampiran Jambatan Pertak.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Isnin lepas, lapan lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan tujuh warga asing dari Yaman, Sri Lanka, Nepal serta India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.





