Tragedi Kg Pida 3: Isteri Mangsa Dedah Adik Halusinasi Dengar Diri ‘Diejek-Ejek’

1 Nov 2025 • 2:32 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Berita insiden tragis seorang lelaki, Nasir Md Nanyan, 45, yang maut selepas dipercayai ditetak oleh adik iparnya sendiri dalam kejadian di kawasan sawah berhampiran rumah mereka di Kg Pida 3, Jerlun mengejutkan negara.

Suspek tragedi Kg Pida 3 alami dipercayai halusinasi

Memetik laporan daripada Sinar Harian, isteri mangsa, Marliana Awang, 39, mendedahkan bahawa suspek yang juga adik kandungnya dipercayai mengalami gangguan halusinasi dan kemurungan sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Marliana, adiknya pernah memberitahu polis bahawa dia terdengar suara seperti orang mengejek atau memerli dirinya sebelum kejadian berlaku.

“Adik cerita pada polis, katanya dia nak keluar mandi, lepas itu dia nampak macam suami saya panggil dia.
“Dia kata ada suara ejek-ejek dia, macam orang perli,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

image is not available

Suspek tragedi Kg Pida 3 tak makan ubat diambil ibu

Tambah Marliana, suspek turut pernah mendapatkan rawatan susulan di Hospital Alor Setar, namun berhenti mengambil ubat beberapa bulan kebelakangan ini.

“Mak yang pergi ambil ubat, tapi dia tak makan. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masa Covid-19, dia mula berubah. Sebelum tu, dia baik-baik saja,” katanya.

Beliau turut menceritakan detik pilu ketika menemui suaminya yang sudah tidak bernyawa di tengah sawah selepas dimaklumkan penduduk kampung tentang pergaduhan tersebut.

“Saya jerit minta tolong dan terus pangku jenazah suami sambil urut dadanya. Waktu tu lagi 10 minit nak azan Maghrib. Saya doa agar ALLAH permudahkan urusannya,” katanya sebak.

image is not available

Mangsa seorang suami yang baik

Wanita itu menyifatkan arwah suaminya sebagai seorang yang penyayang, rajin bekerja dan sangat rapat dengan anak-anak.

Pasangan ini dikurniakan dua anak lelaki berusia tujuh dan 12 tahun.

“Pokok-pokok di halaman rumah semua dia yang tanam. Dia bela kambing, ambil upah tabur padi, dan setiap hari dia yang hantar serta ambil anak-anak dari sekolah,” ujarnya.

image is not available

Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 7.05 malam dan berjaya menahan suspek tidak lama selepas itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan suspek telah direman enam hari bagi membantu siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian (Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor)

View Original Article