Melalui laporan Sinar Harian, lebih 500 pelarian Rohingya dikhuatiri telah terkorban selepas dua buah bot yang membawa mereka dilaporkan karam di kawasan Teluk Benggala.
Berita ini disahkan oleh Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada Khamis lalu, yang menyifatkan kejadian ini sebagai antara tragedi paling buruk pernah melibatkan etnik Rohingya.
Detik cemas di lautan
Menurut laporan, kedua-dua bot tersebut dipercayai memulakan perjalanan dari negeri Rakhine, Myanmar pada hujung bulan Jun lalu.
Mereka membawa penumpang yang kebanyakannya etnik Rohingya, termasuk beberapa pelarian yang nekad keluar dari kem di Bangladesh demi mencari kehidupan lebih baik.

Difahamkan, bot pertama yang membawa kira-kira 250 penumpang hilang hubungan sejurus selepas berlepas.
Tragisnya, bot kedua yang membawa seramai 280 orang pula dipercayai karam di pesisir Ayeyarwady pada 8 Julai.
Walaupun angka tepat masih dalam siasatan, namun kebimbangan terhadap kehilangan ratusan nyawa ini nyata bukan perkara kecil.
Monsun punca kemalangan ini berlaku?
Pihak agensi PBB menjelaskan bahawa keadaan cuaca yang buruk, ditambah pula dengan hujan lebat dan banjir yang melanda rantau tersebut, menjadikan laluan laut di Teluk Benggala sangat berbahaya, lebih-lebih lagi ketika musim monsun.

Namun, desakan hidup akibat krisis kemanusiaan yang berlarutan di Myanmar dan keadaan kem pelarian yang terlalu sesak di Bangladesh memaksa ramai daripada mereka mengambil risiko, termasuk cuba menjadikan Malaysia sebagai destinasi perlindungan.

Kerajaan Terbuka Cadangan Benarkan Pelarian Rohingya Bekerja Di Malaysia
The post Tragedi Menyayat Hati, Lebih 500 Pelarian Rohingya Dikhuatiri Maut Dalam Bot Karam Menuju Ke Malaysia first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





