Tragedi Nepal: Malaysia Sedia Hantar Pakar DNA Kenal Pasti Mangsa Banjir 

5 Sep 2026 • 2:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

SEREMBAN - Kerajaan Malaysia bersedia menghantar pakar DNA daripada Jabatan Kimia ke Nepal bagi membantu proses mengenal pasti mangsa banjir dahsyat di negara itu, susulan usaha mengesan 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pasukan pakar berkenaan akan dihantar sekiranya diperlukan bagi membantu pihak berkuasa Nepal mempercepatkan proses pengecaman mangsa.

Menurut beliau, sampel DNA daripada waris kepada kesemua 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang telah diambil dan akan dihantar ke Nepal untuk tujuan padanan.

“Sekiranya perlu, kita akan menghantar pakar daripada Jabatan Kimia untuk membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti mangsa dan menjalankan padanan DNA.

“Jumlah mangsa yang terlibat ramai dan proses padanan ini akan mengambil masa,” katanya.

Mohamad Hasan - Gambar fail
Mohamad Hasan - Gambar fail

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang anjuran UMNO dan Jawatankuasa Penduduk Pinggiran Senawang di Taman Pinggiran Senawang, di sini, hari ini.

Mohamad berkata beberapa negara lain turut bersiap sedia untuk menghantar pakar DNA ke Nepal bagi membantu mempercepatkan proses mengenal pasti mangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan Nepal hanya membenarkan Malaysia menghantar 10 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman ketika gempa bumi di Kathmandu sebelum ini, apabila kehadiran terlalu banyak pasukan SAR dari luar negara menyukarkan pihak berkuasa tempatan menyelaras serta mengurus operasi.

“Berdasarkan pengalaman kita ketika gempa bumi di Kathmandu sebelum ini, terlalu banyak pasukan SAR dari negara lain akhirnya menyukarkan pihak berkuasa tempatan untuk menyelaras dan mengurus operasi.

“Mereka tidak mahu perkara itu berulang, sebab itu kerajaan Nepal mengehadkan penghantaran pasukan SAR asing,” katanya.

Mohamad berkata pasukan SMART turut dilengkapi lima dron berkapasiti tinggi yang disumbangkan beberapa syarikat Malaysia, termasuk Proton dan Petronas, bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di kawasan cerun serta lurah yang sukar dimasuki.

“Bilangannya (kawasan terjejas) panjang dan luas, merentasi Tibet, Nepal dan India. Jadi kawasannya sangat luas, selain mempunyai cerun dan lurah yang berbahaya,” katanya. - Getaran, 5 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved