Tragedi Pantai Cenang: Kanak-Kanak Rusia Maut Disengat Obor-Obor Di Langkawi

19 Nov 2025 • 7:38 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia maut selepas disengat obor-obor ketika mandi di Pantai Cenang, Langkawi pada Sabtu lalu.

Memetik laporan daripada Harian Metro, mangsa, Vladimir Iakubanets, 2, yang diiringi keluarganya menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.46 pagi hari ini.

image is not available

Alami komplikasi selepas disengat obor-obor di Langkawi

Bapanya, Nikita, 32, menyatakan anaknya mengalami komplikasi serius akibat sengatan haiwan beracun itu.

“Dalam kejadian Sabtu lalu, ketika mandi di kawasan air cetek, tiba-tiba dia menjerit kesakitan. Isteri saya terus mengangkatnya, serahkan kepada saya dan kami bawa dia naik ke pantai. Dalam beberapa saat saja, dia berhenti bernafas.
“Saya cuba buat CPR (bantuan pernafasan kecemasan) secepat mungkin. Ada pelancong lain datang membantu dan bawa kami kepada penyelamat pantai. Mereka hanya cuci luka dengan cuka sebelum hantar ke klinik dan kemudian ke hospital,” katanya ketika ditemui di HSB.

image is not available

Disengat obor-obor  pada Sabtu

Nikita yang berasal dari Khabarovsk, Rusia berkata, pasukan perubatan di Langkawi dan Alor Setar sudah berusaha menyelamatkan Vladimir.

Dia memaklumkan, mereka juga tidak berniat mengambil sebarang tindakan undang-undang, tetapi berharap tragedi itu menjadi peringatan kepada pengunjung mengenai bahaya sengatan obor-obor.

“Kami percaya kejadian menimpa Vladimir adalah untuk selamatkan orang lain, untuk elakkan tragedi sama berulang. Vladimir sangat baik dan bijak, kami keluarga yang bahagia,” katanya dalam nada sebak.

image is not available

Isterinya, Olga, 32, pula memberitahu yang mereka mahu pemergian Vladimir membawa makna kerana sejak kecil dia dikenali sebagai anak yang suka membantu.

“Dia wira kami… malaikat kecil kami. Setiap hari kami beritahu kami sayang dia dan dia selalu balas dia sayang kami,” katanya.

Pasangan itu merancang membawa abu Vladimir pulang ke Rusia selepas proses pembakaran mayat selesai.

Sumber: Harian Metro (Noorazura Abdul Rahman)

The post Tragedi Pantai Cenang: Kanak-Kanak Rusia Maut Disengat Obor-Obor Di Langkawi appeared first on Borak Daily.