Tragedi PTP: Tiga maut dalam kebakaran kontena kapal MSC Kyparissia

LocalWorld
7 Nov 2025 • 4:27 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Tiga pekerja kapal maut manakala tiga lagi cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah kontena di atas kapal MSC Kyparissia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri, Johor tengah hari tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 12.23 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri tiba di lokasi pada jam 12.40 tengah hari.

Kebakaran dilaporkan berlaku ketika kerja pemunggahan dijalankan di bahagian bawah geladak Blok 5 kapal terbabit.

Menurut JBPM Johor, insiden itu melibatkan enam mangsa lelaki, tiga daripadanya maut, iaitu seorang warga Malaysia berusia 59 tahun, seorang warga Filipina dan seorang warga Britain, masing-masing berusia lingkungan 40-an.

Tiga lagi mangsa cedera terdiri daripada seorang warga Malaysia berusia 26 tahun dan dua warga Filipina dalam lingkungan usia sama. Semua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Gleneagles Iskandar Puteri.

Pemadaman awal dilakukan pasukan Bomba PTP menggunakan dua tug boat dengan sokongan operasi pemunggahan oleh Quay 118. Pos Kawalan Hadapan (PKH) turut dibuka di lokasi dan operasi pemadaman masih diteruskan bersama pihak PTP.

Seramai sembilan anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti digerakkan dalam operasi tersebut.

JBPM Johor dalam kenyataan berkata, perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. - 7 November, 2025

The post Tragedi PTP: Tiga maut dalam kebakaran kontena kapal MSC Kyparissia appeared first on Scoop.

View Original Article