
MALE – Tragedi selaman di Maldives bertukar duka apabila mayat empat lagi pelancong Itali yang hilang ketika meneroka gua bawah laut akhirnya ditemukan pada Isnin, sekali gus melengkapkan operasi pencarian dalam insiden selaman paling buruk pernah direkodkan di negara kepulauan itu.
Menurut laporan media antarabangsa, mangsa yang ditemukan ialah Monica Montefalcone, 52, anak perempuannya Giorgia Sommacal, 20, Muriel Oddenino, 31, dan Federico Gualtieri, 31.
Kesemua mayat ditemukan di kawasan Thinwana Kandu yang dikenali sebagai ‘gua jerung’.
Sebelum ini, mayat jurulatih selam mereka, Gianluca Benedetti, 44, ditemukan terlebih dahulu pada Jumaat lalu.
Difahamkan, kumpulan terbabit dilaporkan hilang sejak Khamis ketika meneroka rangkaian gua bawah laut di Vaavu Atoll, Maldives.
Pasukan Penyelam Elit Digerakkan
Operasi pencarian dijalankan pasukan penyelam elit dari Finland yang diterbangkan khas ke Maldives oleh Divers Alert Network Europe selepas pihak berkuasa tempatan menghadapi kesukaran untuk menyelam sehingga kedalaman kira-kira 150 meter bagi memasuki kawasan gua berkenaan.
Pasukan itu terdiri daripada penyelam berpengalaman iaitu Sami Paakkarinen, Jenni Westerlund dan Patrik Grönqvist, yang sebelum ini pernah terlibat dalam operasi menyelamat pasukan bola sepak remaja Thailand dalam tragedi gua pada tahun 2018.
Kementerian Luar Itali memaklumkan punca sebenar kematian lima mangsa masih belum dikenal pasti, manakala operasi membawa keluar mayat dari dasar laut dijangka mengambil masa beberapa hari lagi.
Anggota Penyelamat Turut Terkorban
Dalam perkembangan sama, seorang anggota penyelam penyelamat Maldives, Sarjan Mejar Mohamed Mahudhee, turut maut ketika operasi mencari mangsa pada Sabtu lalu.
Insiden itu menjadikan jumlah korban keseluruhan tragedi berkenaan meningkat kepada enam orang.
Laporan turut menyebut kira-kira 20 lagi pelancong Itali berada di atas kapal layar Duke of York ketika kejadian berlaku, namun mereka dilaporkan selamat dan sudah pulang ke Itali.
Siasatan awal kini turut meneliti kemungkinan keracunan oksigen akibat selaman terlalu dalam sebagai antara punca tragedi tersebut. – The Malaysian Update
The post Tragedi Selaman Maldives: Empat Lagi Mayat Pelancong Itali Ditemukan Dalam ‘Gua Jerung’ appeared first on The Malaysian Update.
