Tragedi Zara Qairina cetus gerakan antibuli di Beaufort

26 Aug 2025 • 4:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

BEAUFORT: Tragedi kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir lebih sebulan lalu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam, malah menjadi pencetus kepada gerakan masyarakat menentang budaya buli di negeri ini.

Daripada Himpunan Solidariti Aman Beaufort pada 16 Ogos lalu, inisiatif itu kini berkembang kepada pelancaran kempen rasmi bertemakan ‘Noktahkan Buli, Mulakan Empati – Kami Hero Anti Buli’ anjuran Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah.

Pengerusinya, Mohammad Norizhuan Awang berkata, kempen tersebut lahir daripada kesedaran bersama selepas tragedi menimpa Zara Qairina dan tekad masyarakat untuk memastikan budaya buli tidak lagi berulang.

“Buli bukanlah isu kecil, tetapi satu jenayah sosial yang boleh meranapkan masa depan mangsa serta meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada keluarga dan masyarakat.

“Melalui kempen ini, saya menyeru seluruh masyarakat agar berani bersuara, menolak perbuatan buli, dan bersama-sama membina budaya empati serta hormat-menghormati,” katanya pada majlis pelancaran di sini, Ahad.

Kempen berkenaan digerakkan menerusi pelbagai pendekatan termasuk pertandingan pidato, ceramah kesedaran di sekolah, serta penghasilan bahan kreatif seperti video pendek, animasi dan poster yang akan disebarkan di media sosial.

Sebagai simbol permulaan, program itu diserikan dengan aktiviti tinjauan harmoni di sekitar Pekan Beaufort apabila sukarelawan mengedarkan risalah anti buli serta lencana kempen kepada orang ramai, khususnya remaja dan belia.

Mohammad Norizhuan menegaskan, perjuangan menoktahkan budaya buli tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada ibu bapa, sekolah, NGO dan agensi kerajaan.

“Dengan semangat solidariti, marilah kita bersama-sama menjadi Hero Anti Buli demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan berperikemanusiaan untuk generasi akan datang,” katanya.