
Tranformasi MARA Pacu Pendidikan, Usahawan Dan Tadbir Urus Lebih Berimpak
KUALA LUMPUR, 21 April 2026 - Usaha memperkukuh pembangunan sosioekonomi Bumiputera terus dipacu apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) melaksanakan 111 inisiatif di bawah Peta Transformasi MARA yang kini menjadi asas kepada hala tuju baharu organisasi bagi tempoh lima tahun akan datang.
Inisiatif transformasi ini merangkumi sektor pendidikan, keusahawanan, kewangan korporat dan khidmat pengurusan, dengan tumpuan kepada peningkatan impak kepada pelajar, usahawan serta masyarakat luar bandar.
Pelaksanaan agenda transformasi ini disokong oleh tujuh pasukan khas yang digerakkan sejak 2023, dengan dapatan mereka diterjemahkan kepada 111 inisiatif merangkumi enam tunjang utama iaitu dasar dan tadbir urus, kecekapan kewangan, penyampaian mandat, pembangunan profesional, teknologi maklumat serta penyelidikan dan jaringan strategik.
PRESTASI MRSM TERUS MENINGKAT
Dalam sektor pendidikan, pencapaian akademik Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terus menunjukkan peningkatan apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 merekodkan Gred Purata Maktab (GPM) keseluruhan 2.062.
Sebanyak lima (5) MRSM berjaya mencatat GPM di bawah 1.500, manakala 14 MRSM merekodkan GPM di bawah 2.000.
Usaha peningkatan akademik ini dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan termasuk bimbingan profesional kepada guru, pelaksanaan pedagogi baharu, program pembangunan sahsiah pelajar serta pengukuhan program Ulul Albab yang kini melibatkan kira-kira 36,000 pelajar di seluruh MRSM.
Bagi memperluas peluang pendidikan global, MARA turut memperkenalkan Program Elite Bound yang menyediakan laluan khas kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di universiti terbaik dunia.
Seramai 50 pelajar telah terpilih dalam fasa persediaan di Kolej MARA Seremban dan Kolej MARA Banting.
USAHAWAN MARA TEMBUS PASARAN GLOBAL
Dalam sektor keusahawanan, MARA terus memberi fokus kepada pembangunan industri halal serta pengukuhan kapasiti usahawan Bumiputera untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Sepanjang tahun 2025, program Gate to Global (GTG) mencatat nilai transaksi jualan sebanyak RM449 juta melibatkan 362 usahawan dengan 2,818 produk berjaya menembusi pasaran global.
Selain itu, tujuh (7) Kawasan Industri Makanan MARA turut ditransformasikan kepada MARA Halal Industrial (MHI) Park yang menyediakan kemudahan kilang, latihan, khidmat teknikal serta akses pembiayaan bagi menyokong pertumbuhan industri halal dalam kalangan usahawan Bumiputera.
Usaha meningkatkan ekosistem perniagaan turut dilaksanakan melalui projek transformasi usahawan luar bandar, program industri halal serta kerja naik taraf premis perniagaan di pelbagai lokasi seluruh negara.
Baca juga:
Karnival Pendidikan MARA 2026 Kedah Tawarkan Kemasukan Terus Generasi Muda
IBC MARA Peruntuk RM30 Juta, Latih 720 Pelajar Tahfiz
PINJAMAN TERTUNGGAK BERJAYA DIKURANGKAN
Dalam sektor kewangan korporat, MARA mengambil langkah lebih agresif bagi meningkatkan disiplin bayaran balik dalam kalangan peminjam.
Melalui pendekatan yang lebih tersusun termasuk peluasan kaedah bayaran auto debit, potongan gaji serta e-mandate, kadar pembiayaan tidak berbayar (Non-Performing Financing, NPF) berjaya diturunkan daripada 35.2 peratus pada Mac 2025 kepada 24.1 peratus pada Mac 2026.
Pada masa sama, MARA turut memperkenalkan dasar pengurusan kredit yang lebih komprehensif serta memperkukuh kompetensi pegawai melalui latihan profesional dalam pengurusan kredit.
Langkah ini bertujuan memastikan kelestarian pembiayaan MARA agar lebih ramai pelajar dan usahawan dapat terus menikmati manfaat kemudahan yang disediakan.
PEMBAHARUAN AKTA MARA
Seiring perubahan landskap ekonomi semasa, MARA turut melaksanakan pembaharuan Akta MARA 2026 bagi memastikan organisasi ini kekal relevan, responsif dan berdaya saing dalam memacu pembangunan sosioekonomi Bumiputera.
Penambahbaikan ini melibatkan pemodenan kerangka tadbir urus, pengukuhan fungsi strategik organisasi serta penyesuaian mandat MARA dengan cabaran ekonomi masa kini dan masa hadapan.
Antara fokus utama pembaharuan tersebut termasuk memperkemas struktur tadbir urus korporat, memperkukuh mekanisme pematuhan serta meningkatkan ketelusan pengurusan kewangan organisasi.
KARNIVAL 60 TAHUN MARA : MENJUNJUNG AMANAH
Sempena enam dekad penubuhannya, MARA akan menganjurkan Karnival 60 TAHUN MARA : Menjunjung Amanah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 1 hingga 5 Mei 2026.
Karnival ini bertujuan menghimpunkan pelbagai inisiatif pembangunan MARA dalam bidang pendidikan, keusahawanan, pelaburan dan pembangunan bakat dalam satu platform terbuka kepada masyarakat.
Sepanjang lima hari penganjuran, pelbagai program akan dilaksanakan termasuk Education Fair, Forum Akademik Nasional, program pembangunan kemahiran GIATMARA, sesi jaringan keusahawanan serta pelancaran beberapa inisiatif strategik MARA yang memberi manfaat kepada pelajar, usahawan dan masyarakat.
Penganjuran sambutan ini bukan sahaja meraikan perjalanan 60 tahun MARA dalam pembangunan sosioekonomi Bumiputera, malah menjadi platform memperkenalkan hala tuju baharu organisasi dalam memperkasa generasi masa hadapan.




