
“REFORMASI, Reformasi, Reformasi.” Itulah laungan yang selama ini menjadi identiti perjuangan PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Sorakan itu bergema di pentas ceramah, himpunan politik dan setiap kali menjelang pilihan raya sebagai simbol perjuangan menentang kerajaan terdahulu.
Dalam istilah politik, war cry merujuk laungan semangat yang digunakan bagi membangkitkan keberanian penyokong, menyatukan jentera serta memberi tekanan psikologi kepada lawan.
Selama lebih dua dekad, reformasi berfungsi sebagai war cry yang berjaya mengikat emosi penyokong PH.
Namun, landskap politik berubah apabila PH bukan lagi pembangkang, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.
Dalam keadaan itu, timbul persoalan sama ada laungan yang sama masih mempunyai nilai politik atau rakyat kini lebih menilai hasil sebenar pentadbiran.
Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berpandangan slogan ‘reformasi’ tidak boleh selama-lamanya dijadikan modal politik.
“Reformasi tidak boleh selama-lamanya menjadi war cry. Ketika menjadi pembangkang, ia adalah seruan untuk menukar kerajaan. Selepas menjadi kerajaan, reformasi mesti menjadi ukuran kepada prestasi kerajaan.
“Kalau tidak, ia akan kelihatan seperti jenama politik, bukan transformasi politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pandangan tersebut dilihat selari dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 yang memperlihatkan perubahan sentimen pengundi.
Jika pada 2023 PH menjadi blok terbesar dengan memenangi 17 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), keadaan berubah apabila parti itu hanya memperoleh 11 kerusi pada PRN kali ini, sekali gus kehilangan enam kerusi berbanding pilihan raya terdahulu.
Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) mencatat kebangkitan ketara apabila menguasai 14 kerusi pada PRN 2023 kepada 18 kerusi, iaitu pertambahan empat kerusi sekali gus muncul sebagai blok terbesar dalam DUN Negeri Sembilan.
Perikatan Nasional (PN) pula berjaya meraih kemenangan di tujuh kerusi selepas 646,084 pengundi bersamaan 72.64 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini.
Keputusan itu adalah natijah kepada suara pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa di negeri tanah beradat ini.
Lebih menarik, kejayaan BN itu bukan sekadar kemenangan angka tetapi mencerminkan keberkesanan proses transformasi yang dilaksanakan parti berkenaan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Jika dahulu BN sering dikaitkan dengan imej parti lama yang sukar menarik sokongan generasi baharu, kini naratif tersebut semakin berubah.
Pendekatan lebih sederhana, penampilan calon lebih segar, strategi kempen yang tersusun serta penekanan terhadap isu kos sara hidup dan pembangunan setempat berjaya mengembalikan keyakinan sebahagian besar pengundi.
Perubahan itu turut diterjemahkan menerusi slogan “Hobin Jan Hobin, Hobin Sampai Menang” yang menjadi nadi kempen BN sepanjang PRN Negeri Sembilan.
Berbeza dengan slogan reformasi yang lebih bersifat ideologi, laungan tersebut membawa mesej lebih dekat dengan budaya masyarakat Negeri Sembilan.
Ia bukan sahaja membangkitkan semangat jentera, malah membina rasa kebersamaan dalam kalangan penyokong sehingga berjaya menjadi identiti kempen BN.
Lebih penting, slogan itu tidak berdiri bersendirian. Ia disokong oleh gerak kerja akar umbi yang konsisten, jentera yang lebih tersusun serta strategi mendekati pengundi secara bersemuka.
Keputusan pilihan raya akhirnya menunjukkan dalam politik moden, war cry sahaja tidak lagi mencukupi.
Pengundi semakin rasional dalam membuat penilaian. Mereka tidak lagi sekadar mendengar slogan, sebaliknya mahu melihat keupayaan parti menawarkan penyelesaian terhadap isu ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Fenomena di Negeri Sembilan turut memberikan isyarat pengundi mula membezakan antara jenama politik dengan transformasi sebenar.
Namun, apabila sesebuah parti sudah berada dalam kerajaan, ukuran sebenar bukan lagi pada kekuatan slogan tetapi sejauh mana janji diterjemahkan kepada dasar dan hasil yang boleh dirasai rakyat.
Dalam konteks ini, PH berdepan cabaran besar untuk membuktikan reformasi bukan sekadar slogan yang terus diulang pada setiap pilihan raya.

TRANSFORMASI BN
Sebaliknya, BN dilihat berjaya menampilkan naratif baharu yang lebih pragmatik. Transformasi yang dilakukan bukan sahaja membabitkan pendekatan kempen, malah merangkumi penyusunan organisasi, pemilihan calon serta usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Sudah tentu keputusan di Negeri Sembilan tidak boleh dijadikan ukuran mutlak terhadap landskap politik nasional. Setiap negeri mempunyai demografi, isu tempatan dan corak pengundian yang berbeza.
Namun, keputusan tersebut tetap membawa mesej penting kepada semua parti politik bahawa pengundi hari ini semakin matang dan sukar dipengaruhi semata-mata oleh retorik.
Hakikatnya, politik Malaysia sedang memasuki fasa baharu. Persaingan bukan lagi sekadar siapa memiliki slogan paling kuat atau ceramah paling bersemangat tetapi siapa mampu membuktikan keupayaan mentadbir dengan lebih berkesan.
Jika suatu ketika dahulu reformasi menjadi simbol perubahan tetapi hari ini rakyat pula menuntut perubahan itu diterjemahkan dalam bentuk dasar, pentadbiran dan pencapaian yang boleh diukur.
PRN Negeri Sembilan 2026 memperlihatkan transformasi yang disokong oleh prestasi lebih mudah diterima berbanding slogan yang terus diulang tanpa ukuran kejayaan jelas.
Bagi PH pula, kemerosotan daripada 17 kepada 11 kerusi wajar dijadikan ruang muhasabah untuk menilai semula pendekatan politik yang digunakan selepas berada dalam kerajaan.
Akhirnya, dalam politik, slogan mungkin mampu memenangi sorakan. Namun, transformasi yang diyakini rakyatlah yang menentukan kemenangan. –UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.
The post Transformasi Barisan Nasional tewaskan laungan reformasi appeared first on Utusan Malaysia.
