
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Mahkamah Syariah di Kelantan mengendalikan kes pertama melibatkan seorang individu transgender (mak nyah) yang bertindak menukar jantina mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, sejak undang-undang itu diwartakan pada tahun 2020.
Menurut Sinar Harian yang memetik sumber daripada Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik), penahanan individu itu dibuat dalam satu operasi ke atas acara melibatkan sekumpulan transgender.
“Susulan itu satu pendakwaan dibuat ke atas suspek di Mahkamah Syariah Kelantan, baru-baru ini atas dakwaan melakukan pengubahan jantina,” katanya.
Kes di peringkat pengurusan, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pendakwaan
Jelasnya, kes tersebut masih berada di peringkat pengurusan selepas tertuduh mengaku tidak bersalah atas pendakwaan.
Kata sumber itu lagi, individu tersebut dipercayai mengubah jantinanya pada pentengahan tahun 2025.
Sumber berkata, pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, berkaitan kesalahan mengubah jantina sendiri atau orang lain.
“Jika sabit kesalahan ia boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Perincian kes dah boleh didedahkan secara terbuka – Exco Kelantan
Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan perincian kes berkenaan secara terbuka.
“Saya tiada maklumat lengkap dan ada isu tidak boleh dibuat pendedahan terbuka. Dalam hal ini saya kena jaga semua pihak yang sedang diambil tindakan,” katanya lagi.
Memetik MalaysiaKini pula, Mohd Asri berkata, perkara itu tidak diuar-uarkan kepada orang awam memandangkan pendekatan kerajaan negeri yang jarang menguar-uarkan kes berkaitan kesalahan syariah.
Dalam pada itu, pengasas bersama Justice For Sisters, Thilaga Sulathireh menegaskan undang-undang menjenayahkan pengubahan jantina akan memberi kesan negatif kepada golongan transgender dalam menzahirkan personaliti mereka.
“Undang-undang sebegini membuka lebih ruang gangguan seksual dan pencabulan privasi, integriti personal, dan autonomi terhadap tubuh badan masing-masing,” katanya lapor MalaysiaKini.
Baca Artikel Berkaitan: Lagu Tomok Beri Kesan Pada Bekas ‘Mak Nyah’
